Liga Super Malaysia Berita

Akram Mahinan: Saya tak kisah main di Kuala Lumpur

Kebanyakan pihak mungkin tidak bersetuju jika pemain berkualiti seperti Akram Mahinan beraksi di Liga Perdana, tetapi bagi Akram, beliau tidak kisah.

Pemain berusia 26 tahun itu merupakan pemain skuad kebangsaan yang membantu Malaysia mara ke final AFF Suzuki 2018 dan beraksi di PKNS, namun beliau membuat keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur, pasukan yang baharu tersingkir ke Liga Perdana.

“Ada orang akan fikir ia satu risiko bermain dengan pasukan Liga Perdana tapi bagi saya ia adalah cabaran. Prestasi saya merosot ketika di PKNS dan saya rasa ini membuka mata saya,” katanya kepada The Star.

“Saya sangguh mula dari bawah balik. Saya sudah bermuhasabah dan merasakan KL yang paling sesuai dengan saya. Lagipun saya pernah berada di bawah coach Nidzam Adzha sebelum ini.”

Pada masa sama, Akram juga mahu kembali beraksi dalam skuad kebangsaan selepas kehilangan tempatnya kepada Brendan Gan yang beraksi cemerlang ketika menentang Thailand dan Indonesia dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Saya nak main dengan skuad kebangsaan balik, lepas terlepas dua perlawanan baru-baru ini.

“Saya yakin dengan keupayaan diri, cuma perlu bekerja lebih keras di KL.

Saya tahu coach Tan Cheng Hoe menilai pemain dengan adil. Asalkan saya perform, saya berpeluang untuk dipanggil beraksi dengan skuad kebangsaan.”