Kolum Eropah

[VIDEO] Neymar: Mengapa perlu ke Barcelona?

Bintang sensasi Paris Saint Germain (PSG), Neymar menegaskan tiada keperluan buat dirinya untuk mencari pasukan baru buat masa ini. Malah, pemain kelahiran Brazil ini mengakui gembira dengan pasukannya sekarang.

Neymar yang dihantui dengan kecederaan pada awal musim dilihat kini kembali mendapat sentuhan. Sejak kembali beraksi, Neymar telah menjaringkan tujuh gol dan mencipta tiga bantuan gol dalam saingan Ligue 1 Perancis.

Tambahan pula, Neymar beraksi cemerlang dengan menyumbang empat gol dan mencipta lima bantuan gol dalam empat perlawanan sebelum ini. Terbaru, dia mencatat nama sebagai salah seorang penjaring ketika membantu PSG menumbangkan St. Etienne 4-0 pada malam semalam.

Sebelum ini, Neymar kerap kali dikaitkan dengan bekas majikan di Sepanyol, Barcelona dan desas-desus kuat mengatakan dia akan kembali bersama skuad The Catalans. Namun, pemain berusia 27 tahun itu menafikan berita tersebut.

‘’Mengapa perlu saya tinggalkan pasukan ini?’’, soalnya kepada berita yang bertiup kencang itu.

Ternyata Neymar begitu bahagia dengan pasukan semasa jika dilihat pada persembahan yang dipamerkan. Setelah kembali mendapat kepercayaan pengendali utama, Thoms Tuchel, Neymar begitu memanfaatkan peluang yang telah diberikan.