Kolum Eropah

Ernesto Valverde puji gol luar biasa Suarez

Barcelona terus mengutip mata penuh selepas menumbangkan Real Mallorca 5-2 pada saingan La Liga Sepanyol di Stadium Nou Camp. Gandingan trio Messi. Suarez, dan Griezmann (MSG) semakin menunjukkan bisa dengan ketiga-tiga pemain mencatat nama sebagai penjaring dalam perlawanan tersebut.

Penerima Anugerah Ballon d’Or 2019, Lionel Messi membintangi perlawanan tersebut dengan menyumbat tiga gol cantik. Ini merupakan hatrik kedua buat pemain antarabangsa Argentina itu selepas melakukannya ketika menentang Celta Vigo pada awal bulan lepas.

Dua lagi gol The Catalan dijaringkan oleh Antoine Griezmann dan Luis Suarez. Gol luar biasa Suarez itu turut mendapat pujian daripada Ketua Jurulatih, Ernesto Valverde. Beliau tidak menyangka penyerang antarabangsa Uruguay itu mahu melakukan jaringan.

‘Saya menyangka dia(Suarez) mahu melakukan jaringan tetapi bola bergerak dengan laju dan menerjah jaring. Saya terkejut dan kagum dengan gol tersebut’, katanya lagi.

Gol jaringan Suarez itu menjadi topik perbualan hangat para pengguna di laman media sosial Twitter dan ramai yang menginginkan gol tersebut untuk dinobatkan dengan Anugerah Puskas. Dalam pada itu, Luis Suarez sendiri mengakui bahawa itu adalah jaringan terbaik yang pernah dihasilkan sepanjang karier. Gol tersebut mirip dengan gol yang pernah dijaringkan oleh bekas penyerang Barcelona, Patrick Kluivert.

Kemenangan tersebut meletakkan Barcelona di puncak liga dan berkongsi mata bersama Real Madrid selepas mengharungi 15 perlawanan. 

Perlawanan ini juga menyaksikan gandingan MSG sekali lagi mengancam pihak lawan dengan masing-masing menempa nama sebagai penjaring. Sebelum ini, trio MSG pernah menggugat pasukan lawan seperti Eibar dan Borussia Dortmund.