Luar Negara Asia

LaLiga perlukan Asia bagi melonjakkan jenama ke peringkat global

Pengarah Pejabat Pengerusi Real Valladolid, David Espinar percaya LaLiga memerlukan Asia untuk meningkatkan popularitinya sebagai jenama global.

Liga Sepanyol itu sudah pun berusia 90 tahun tetapi perlu menarik perhatian peminat-peminat baharu di Asia yang mungkin lebih terdedah dan mengenali Liga Perdana Inggeris, Bundesliga di Jerman dan Serie A di Itali.

“Valladolid sendiri adalah kelab yang sudah berusia tetapi sejak tahun lalu kami telah bergerak ke arah jenama global, terutamanya setelah Ronaldo menjadi sebahagian daripada kelab ini.

“Itulah sebabnya kami berminat dengan usaha LaLiga untuk membantu kelab Sepanyol lebih popular di Asia.”

Pengarah Kejohanan LaLiga SEA-Jepun, Korea Selatan dan Australia, Ivan Codina turut menyuarakan pandangannya bahawa mereka akan terus mengembangkan inisiatif di Asia dan pasaran lain.

LaLiga, divisyen tertinggi dalam liga Sepanyol, kini merupakan jenama kelapan terbesar di Sepanyol, menurut laporan oleh Brand Finance yang meletakkan nilai liga sebesar €487 juta (US$548 juta) atau bernilai lebih RM1 bilion.

Walau bagaimanapun disebabkan populariti yang dibawa oleh Real Madrid, Barcelona dan Atletico Madrid, kelab-kelab gergasi tersebut telah menjadikan nilai keseluruhan LaLiga melonjak hingga €4 bilion (US $ 4.5 bilion) atau lebih RM15 bilion.

Laporan kewangan 2019 tersebut menandakan ia merupakan kali pertama liga sukan muncul dalam sepuluh jenama tertinggi dalam Brand Finance, menunjukkan perkembangan positif LaLiga.