Luar Negara Asia

Ronaldo mahu LaLiga menjadi lebih popular di rantau Asia

Presiden Real Valladolid, Ronaldo Luis Nazario de Lima berharap beliau dapat membantu LaLiga lebih dikenali di rantau Asia.

Semasa Persidangan dan Anugerah Industri Sukan Asia hari ini, Ronaldo berkata LaLiga mempunyai potensi untuk menjadi jenama global, dengan mempromosikan perlawanan kepada peminat Asia.

“Saya menghabiskan 7 tahun di LaLiga dan bersama Real Madrid selama 3 tahun. Saya mempunyai sejarah yang panjang dengan liga, ia adalah liga terbaik di dunia.

“Sekarang saya bersama Valladolid. Ia satu cabaran besar tetapi ia ada potensi dan saya berharap kami boleh melakukannya dengan terbaik. Asia mempunyai pasaran yang besar jadi kami berharap dapat menjadi jenama global di rantau ini. ”

Pemain legenda Brazil itu juga percaya individu seperti Pengarah Urusan LaLiga di SEA-Jepun, Korea Selatan dan Australia, Ivan Codina serta wakil LaLiga di Filipina, Almudena Gomez akan memastikan bahawa mereka dapat merealisasikan inisiatif LaLiga di Asia.

Komitmen ini sebenarnya dapat dilihat melalui kelab LaLiga, Mallorca yang kini mempunyai sekolah bola sepak di 20 negara termasuk di Johor, Malaysia.

Ronaldo merupakan presiden dan pemilik Valladolid, selepas dilantik tahun lepas.

Bekas penyerang Barcelona dan Real Madrid itu telah membeli 51 peratus saham kelab dalam perjanjian €30 juta bagi menggantikan Carlos Suarez.

Sejak musim lalu, Valladolid layak ke liga tertinggi Sepanyol, selepas lima tahun tidak bersaing di LaLiga.

Ronaldo sebelum ini mempunyai saham dalam pasukan Amerika Syarikat, Fort Lauderdale Strikers sebelum pasukan itu gulung tikar pada 2016.