Skuad B-22 negara dibawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee kini terdesak untuk mencari kemenangan pertama selepas dua perlawanan yang mengecewakan. Kekalahan 1-0 kepada pasukan tuan rumah, Filipina pada Jumaat lepas menjadi titik perubahan buat skuad Harimau Muda yang berada di tangga keempat kumpulan A selepas mengharungi dua perlawanan.
Misi yang dianggap mustahil buat skuad negara untuk layak ke pusingan seterusnya itu bermula selepas Malaysia seri pada perlawanan pertama ketika bertemu Myanmar dan seterusnya tewas kepada Filipina pada perlawanan kedua. Walaupun kesebelasan utama dibarisi hampir separuh daripada pemain skuad senior tetapi ianya masih tidak mengubah apa-apa.
Sementara itu, Ketua Jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee mengumumkan temasya Suka SEA 2019 ini bakal menjadi medan yang terakhir buatnya sejurus selepas Malaysia tewas 1-0 ditangan pasukan tuan rumah, Filipina. Beliau percaya akan kebolehan anak buahnya untuk memungut tiga mata pertama menentang Timor Leste malam ini.
Kim Swee juga menegaskan akan membuat pertukaran taktikal secara besar-besaran bagi mencari ramuan untuk memperoleh kemenangan pertama. Selepas dua perlawanan, kelibat pemain senior tidak begitu memberi impak kepada pasukan.
Namun begitu, beliau kekal optimis dan yakin akan kemampuan para pemain untuk memberikan komitmen sepenuhnya dalam baki dua perlawanan menentang Timor Leste dan Kemboja. Sekiranya Malaysia berjaya memungut mata penuh dalam dua baki perlawanan kumpulan A, maka masih ada sinar harapan untuk layak ke peringkat seterusnya.