Pengendali utama Chelsea, Frank Lampard mempertahankan penyerang mudanya, Tammy Abraham yang dikritik kerana gagal memberikan impak dengan menjaringkan gol dalam perlawanan besar sebelum ini.
Lampard menafikan kritikan tersebut dan menjelaskan bahawa setiap perlawanan yang dihadapi oleh pasukannya adalah perlawanan besar.
Is there worries about Tammy Abraham in big matches? 🤔 pic.twitter.com/SwoPPLDoKP
— GOAL (@goal) November 27, 2019
‘Jika anda bercakap mengenai perlawanan menentang Lille di gelanggang lawan maka ianya satu perlawanan besar buat saya. Jika anda bercakap mengenai perlawanan setiap minggu dalam liga, maka semuanya adalah perlawanan besar buat saya’, katanya lagi.
Lampard turut menjelaskan bahawa tiada istilah pasukan enam teratas dalam saingan Liga Perdana Inggeris buat masa ini. ‘Jika anda mahu bercakap mengenai enam pasukan teratas, siapakah enam pasukan tersebut? Dari minggu ke minggu ianya berubah’, tegasnya lagi.
Bekas pemain tengah Chelsea itu memuji prestasi Tammy Abraham yang kini merupakan penjaring kedua terbanyak liga dengan 10 jaringan setakat ini. Abraham turut menjaringkan gol pada saingan antarabangsa ketika membantu England membelasah Montenegro 7-0.
Sementara itu, Tammy Abraham lebih selesa untuk tidak memikirkan kritikan tersebut kerana dia percaya semua pasukan yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris atau Liga Juara-Juara Eropah adalah pasukan yang hebat.
‘Saya tidak nampak pasukan yang lemah. Apabila menjaringkan gol menentang mana-mana pasukan, saya akan meraikannya seperti ianya perlawanan akhir Piala Dunia’, ujarnya di hujung sesi sidang media.
The Blues akan bertandang ke Stadium Mestalla dengan misi mengutip tiga mata penuh bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya. Chelsea, Valencia, dan Ajax Amsterdam masing-masing berkongsi tujuh mata selepas mengharungi empat perlawanan dalam kumpulan H Liga Juara-Juara Eropah.