Kolum Eropah

[VIDEO] Mourinho mohon maaf

Ketua Jurulatih Tottenham Hotspur, Jose Mourinho mengakui telah memohon maaf kepada pemain tengah, Eric Dier selepas terpaksa menggantikan pemain tersebut pada minit ke-29 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

‘Perkara pertama yang saya lakukan adalah memohon maaf kepada Eric Dier. Ia bukan mudah untuk pemain dan jurulatih. Ianya untuk pasukan dan kami perlukan jalan penyelesaian yang berbeza. Ianya diantara Dier dan Harry Winks tetapi tetap keputusan yang sukar’, jelasnya lagi.

Anak buah Mourinho ketinggalan 2-0 pada perlawanan menentang Olympiacos pada awal babak pertama. Pengendali Portugal itu terpaksa melakukan perubahan taktikal dengan menggantikan Eric Dier dengan Christian Eriksen pada minit ke-29.

Hasilnya, mereka bangkit dan berjaya mendapatkan empat gol hasil sumbangan Dele Alli, Harry Kane, dan Serge Aurier. Kemenangan tersebut sekaligus melayakkan Spurs ke pusingan seterusnya selepas memungut 10 mata. Ini juga kemenangan pertama Jose Mourinho di halaman sendiri sebagai ketua jurulatih Spurs dan merupakan kemenangan kedua buatnya selepas membenam West Ham United 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu.

Dalam pada itu, penyerang utama Spurs, Harry Kane telah mencipta rekod baru setelah menjadi pemain terpantas untuk menjaringkan 20 gol dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah. Kane telah mengharungi 24 perlawanan secara keseluruhan bersama Tottenham Hotspur. Dua gol jaringan Kane awal pagi tadi juga telah memadam rekod terdahulu yang dipegang oleh legenda Juventus, Alessandro Del Piero yang menjaringkan 20 gol dalam 26 penampilan.