Penyerang berbisa kebangsaan, Safawi Rasid cemerlang dalam membantu skuad Harimau Malaya membenam Indonesia 2-0 dalam aksi saingan kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam semalam.
Pemain yang berasal dari Dungun itu menyempurnakan satu sepakan percuma cantik di babak pertama dan menghukum kesilapan ketua pasukan Indonesia, Yanto Basna pada separuh masa kedua untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat Malaysia.
Safawi yang baru sahaja menerima Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2019 Jumaat lepas membuktikan kualiti dan nilainya dengan satu persembahan yang begitu bertenaga.
Malah, ini dua gol ini juga merupakan pemecah kebuntuan buat pemain berusia 22 tahun itu yang sebelum ini gagal mencipta sebarang jaringan dalam empat perlawanan terdahulu.
Jika pada perlawanan menentang Thailand sebelum ini Brendan Gan mencuri perhatian dan dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan, kali ini giliran Safawi pula untuk dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan setelah mempamerkan corak permainan luar biasa. Meskipun, dilihat beberapa kali menerima rawatan di tepi padang tetapi semangat juang tonggak utama Johor Darul Ta’zim (JDT) ini terus membara dan memberi hasil positif kepada pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe.
Pengakhiran 2019 yang sempurna buat #HarimauMalaya. 🐅🇲🇾🔥
Kita akhiri malam ini dengan Viking Clap oleh @ultrasmalaya07. Selamat malam semua. 🤗 #MASvIDN #WCQ #AsianQualifiers #KamiTeamMalaysia pic.twitter.com/wS9qtaEw77
— Team Malaysia (@TeamMsia) November 19, 2019
Malaysia sudah mengharungi lima perlawanan dan memperoleh tiga kemenangan serta dua kekalahan yang meletakkan mereka di tangga kedua kumpulan G dengan kutipan sembilan mata, dua mata dibelakang pendahulu kumpulan Vietnam yang kekal unggul tanpa sebarang kekalahan.