Malaysia Kolum

Lima Perkara daripada Kemenangan Malaysia

Skuad Harimau Malaya mudah menjinakkan Sang Garuda 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. Dua gol kelas dunia yang dihasilkan oleh Safawi Rasid di setiap babak permainan sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata bermakna buat pasukan Malaysia.

Corak permainan yang dipamerkan anak buah Tan Cheng Hoe pada mulanya bermula agak perlahan di babak pertama. Namun, pertukaran taktikal di separuh masa kedua banyak memberi impak kepada barisan serangan skuad negara.

Ternyata, sentuhan pemain berpengalaman, Norshahrul Idlan Talaha masih diperlukan apabila beberapa kali mendatangkan ancaman bahaya kearah gawang gol pihak lawan. Ketiadaan pemain seperti Syafiq Ahmad sememangnya mengganggu taktikal Tan Cheng Hoe tetapi perlu diakui akan kualiti pemain yang dimiliki wajar dipuji.

Terdapat lima perkara yang boleh dirungkai daripada kemenangan Malaysia keatas Indonesia malam semalam.

1.Safawi Rasid

Pemain yang baru sahaja dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2019 ini jelas membuktikan betapa bernilainya aksi yang dipamerkan malam semalam. Sentuhan kaki kiri pemain ini begitu berbisa sehingga dua kali menggegar jaring gol pasukan Indonesia. Pemain berusia 22 tahun ini menutup mulut pengkritik yang mengatakan dia hanya cemerlang bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sahaja sebelum ini. 

2.Penjaga gol berkualiti

Kelibat dua penjaga gol yang beraksi pada malam semalam membuktikan bahawa Malaysia memiliki pemain yang berkualiti diatas padang atau pun di bangku simpanan. Khairul Azhan beraksi cemerlang pada perlawanan menentang Thailand sebelum ini dan sekali lagi menggagalkan Indonesia daripada memperoleh gol pendahuluan. Namun kecederaan yang dialami memaksa Tan Cheng Hoe untuk menggantikannya dengan Farizal Marlias. Farizal membalas kepercayaan yang diberi dengan menyelamatkan sepakan penalti yang diambil oleh Osas Saha. Kedua-dua pemain ini layak untuk dijulang sebaris bersama Safawi.

3.Kekebalan pertahanan

Kombinasi pertahanan tengah yang dikemudi oleh Shahrul Saad dan Aidil Zafuan perlu diberi pujian setelah gagal dibolosi oleh pihak lawan. Jika pada perlawanan menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), pertahanan kita kelihatan goyah dan mudah ditembusi. Kali ini, kelemahan tersebut telah diperbaiki dan mereka juga berjaya mengurangkan kesilapan dalam permainan. Ini perkara positif yang boleh diambil. 

4.Semangat berpasukan

Satu perkara yang perlu dipuji buat anak buah Tan Cheng Hoe adalah semangat juang berpasukan yang dipamerkan oleh setiap pemain. Mereka begitu bersatu dalam bertahan dan menyerang. Elemen ini begitu penting dalam membina satu pasukan bola sepak yang berkualiti kerana sukan ini bukanlah sukan yang memberi fokus kepada individu tetapi lebih kepada kerjasama satu pasukan.

5.Misi Tan Cheng Hoe

Misi untuk mengutip enam mata di halaman sendiri telah selesai dengan jayanya. Bukan mudah untuk mencapai kemenangan dengan beberapa keadaan yang tidak mengizinkan seperti penggantungan dan kecederaan pemain. Sebaliknya, ianya menjadi pembakar semangat buat pasukan untuk buktikan mereka mampu untuk lakukan yang terbaik demi negara. Malaysia telah mengharungi separuh daripada perjalanan untuk ke peringkat seterusnya. Masih jauh lagi perjalanan bagi tahun 2020.