Malaysia Berita

Ultras Malaya gesa semua turun malam ini

Penyokong setia bola sepak Malaysia, Ultras Malaya menggesa rakyat Malaysia untuk turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini bagi memberikan sokongan buat skuad Harimau Malaya yang akan bertemu Thailand dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Ultras Malaya menerusi satu ciapan di laman sosial Twitter, mengajak seluruh pencinta bola sepak tanah air untuk turut sama memberi sokongan dengan turun ke stadium. Ini berikutan laporan yang menyatakan jumlah tiket perlawanan Malaysia menentang Thailand yang terjual tidak mencecah 10,000. 

Faktor terbesar yang menyebabkan perkara ini berlaku kemungkinan pada hari perlawanan yang dijadualkan pada hari Khamis dimana majoriti rakyat Malaysia akan bekerja di hari Jumaat. Jadi, ia sedikit sebanyak mengganggu masa buat mereka yang bekerja.

Namun begitu, sokongan kepada pasukan bola sepak kebangsaan tidaklah berlaku pada setiap hari. Jadual perlawanan sebegini pula sebenarnya lebih menguji kesetiaan penyokong bola sepak tanah air terhadap pasukan kebangsaan.

Tambahan pula, ini merupakan perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan menentukan adakah anak buah Tan Cheng Hoe layak untuk beraksi di pusingan seterusnya atau sebaliknya. 

Usaha yang dijalankan oleh Ultras Malaya merupakan satu inisiatif yang baik demi memberi motivasi kepada para pemain kebangsaan. Jika dilihat sebelum ini, Malaysia bertandang ke Stadium Bung Karno untuk menentang Indonesia dah menyaksikan ribuan penonton pasukan Indonesia memenuhi setiap ceruk kawasan di stadium tersebut bagi memberikan sokongan kepada pasukan negara mereka. 

Oleh yang demikian, semangat seperti ini perlu dicontohi kerana ianya jelas dapat menaikkan semangat para pemain yang bermain demi lencana di dada.