23 pemain yang telah disenaraikan oleh Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe sudah bersedia bagi menghadapi misi besar yang akan bermula malam ini. Misi mengutip tiga mata penuh menentang Thailand merupakan satu tugas yang berat tetapi tidak mustahil untuk dilaksanakan.
Tan Cheng Hoe juga dilihat seperti sudah menemui ramuan yang mampu mengucar-kacirkan barisan pertahanan pihak lawan pada malam ini. Sebelum ini, Cheng Hoe telah menggugurkan tiga pemain iaitu Farhan Roslan, Nazirul Naim, dan Shahrel Fikri.
Laporan Astro Arena menyatakan terdapat beberapa faktor diatas keputusan yang telah diambil. Farhan Roslan mempunyai masa depan yang bagus tetapi perlu mengambil masa lebih panjang untuk menyesuaikan diri bersama skuad kebangsaan manakala Nazirul Naim pula diketepikan atas sebab kehadiran pemain yang lebih baik iaitu Syazwan Andik di posisi bek kiri. Penyerang Perak, Shahrel Fikri terpaksa digugurkan ekoran kecederaan yang dialaminya sebelum ini dan dikatakan pemain itu masih belum sembuh sepenuhnya.
Peminat bola sepak Malaysia semestinya mengharapkan sesuatu daripada skuad Harimau Malaya yang baru-baru ini telah berjaya menumpaskan Tajikistan 1-0 pada perlawanan antarabangsa Tier 1 pada Sabtu lepas. Prestasi luar biasa yang dipamerkan beberapa pemain seperti Safawi Rasid, Syafiq Ahmad, dan Nor Azam Azih diharap mampu untuk membantu Harimau Malaya mengaum di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Mohamadou Sumareh yang tidak beraksi ketika perlawanan bertemu Tajikistan tempoh hari adalah disebabkan sedang menghabiskan tempoh penggantungan perlawanan dan akan kembali bermain pada malam ini. Tempoh ujikaji buat Tan Cheng Hoe sudah berakhir. Kini masanya sudah tiba untuk membuktikan hasil kepada para pencinta bola sepak tanah air.
Kemenangan ini akan membuka peluang buat skuad Harimau Malaya untuk kembali bersaing di dalam kumpulan G selepas mencatat satu kemenangan dan dua kekalahan sebelum ini. Beraksi di halaman sendiri akan menjadi satu motivasi yang kuat buat pasukan kebangsaan dan juga kelebihan kerana para pemain sudah serasi dengan keadaan padang.