Malaysia Berita

Skuad B-18 Negara cemas sebelum menang

Skuad B-18 Malaysia bermula dengan langkah kanan dalam pusingan Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 apabila menewaskan tuan rumah, Kemboja 5-4 di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh. 

Anak buah Brad Maloney bermula cemerlang mendahului dengan tiga jaringan oleh Shafi Adswad. Fakrul Iman, dan Azrin Afiq. Namun begitu, mereka terpaksa bermain dengan sembilan orang pada babak kedua selepas dua pemain iaitu Mukhairi Ajmal dan Ahmad Zikri dibuang padang.

Kemboja cuba untuk bangkit dengan menghasilkan dua gol pantas dalam masa empat minit. Tetapi usaha mereka gagal setelah penyerang muda berbisa negara, Luqman Hakim menjaringkan gol cantik yang menewaskan penjaga gawang Kemboja. 

Pemain gantian Muslihuddin Atiq menjarakkan kedudukan dengan menyumbang gol kelima buat skuad negara. Pasukan tuan rumah yang masih cuba bangkit dengan mendapatkan dua lagi gol di penghujung babak akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan tipis 5-4.

Kemenangan ini memberi tiga mata bermakna buat pasukan muda negara. Malaysia akan bertemu Brunei pada Rabu ini untuk perlawanan kedua kumpulan G.

Brad Maloney perlu memikirkan taktikal alternatif memandangkan dua pemain utama yang akan digantung pada perlawanan seterusnya. Pemain-pemain negara juga perlu bijak mengawal emosi kerana tindakan melulu hanya akan merugikan pasukan.