Eropah Berita

[VIDEO] Bayern Munich dibelasah, Kovac terima padah

Penyandang juara Bundesliga, Bayern Munich dibelasah 5-1 oleh Eintracht pada saingan liga Sabtu lalu. Kekalahan memalukan Bayern itu juga memberi kesan kepada pengurusan pasukan yang bertindak untuk tidak meneruskan khidmat pengendali, Niko Kovac.

Eintracht mengambil kesempatan keatas Bayern yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Jerome Boateng dilayangkan kad merah seawal minit ke sembilan. 

Serangan demi serangan yang dilancarkan pasukan tuan rumah terus membuatkan Bayern tidak tentu hala. Walaupun Bayern dilihat lebih dominan dalam penguasaan bola tetapi peluang yang dicipta oleh Eintracht lebih banyak serta berbahaya.

Gol daripada Filip Kostic, Djibril Sow, David Abraham, Martin Hinteregger, dan Goncalo Paciencia meranapkan impian Bayern untuk terus mengejar pendahulu liga. Gol saguhati Bayern disumbangkan oleh penyerang prolifik mereka, Robert Lewandowski.

(Photo by Alex Grimm/Bongarts/Getty Images)

Kekalahan ini membawa Bayern ke tangga keempat liga dengan ketinggalan empat mata dibelakang Borussia Monchengladbach.

Menurut laporan The Guardian, Niko Kovac dan pihak pengurusan Bayern Munich telah bersetuju untuk menamatkan khidmat pengendali itu ekoran kekalahan memalukan tersebut. Pembantu jurulatih, Hans-Dieter Flick akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Kovac buat sementara itu.

(Photo by Alex Grimm/Bongarts/Getty Images)

Pihak pengurusan Bayern Munich berkata persetujuan daripada kedua belah pihak ini telah berlaku memandangkan persembahan tidak menentu yang ditunjukkan oleh pasukan dan satu tindakan perlu diambil.

Sepanjang 18 bulan perkhidmatan Kovac, beliau telah membawa Bayern merangkul dua piala pada musim lepas. Niko Kovac juga merupakan bekas pemain tengah pasukan Bayern Munich pada musim 2001 sehingga 2003.