Kolum Eropah

Xhaka perlukan masa

Ketua pasukan Arsenal, Granit Xhaka yang mencetuskan kontroversi atas tindakannya ketika aksi menentang Crystal Palace hujung minggu lalu telah diminta untuk tampil dengan permohonan maaf secara terbuka.

Pemain antarabangsa Switzerland itu menunjukkan respon negatif saat ditukarkan pada perlawanan tersebut dan terus ke bilik persalinan pemain. Penyokong skuad The Gunners mengkritik tindakan ketua pasukan dan meminta pengendali pasukan untuk tidak lagi menggunakan khidmat pemain tersebut.

Unai Emery yang ditemu ramah selepas perlawanan tersebut berkata tindakan pemain itu sememangnya salah dan dia perlu bertemu secara peribadi untuk membincangkan tentang perkara tersebut.

‘Xhaka perlukan masa. Dia masih sedih dan kecewa’, tambahnya lagi. Unai juga enggan mengulas mengenai masa depan Xhaka di Arsenal dan beberapa soalan mengenai status Xhaka sebagai ketua pasukan.

Rata-rata peminat Arsenal kurang gemar akan tindakan pemain itu kerana dia adalah ketua pasukan dan sepatutnya menunjukkan contoh kepada pemain lain. Disaat badai menimpa skuad London Utara ini, pelbagai spekulasi pula muncul mengenai impak kepada kejadian tersebut.

Beberapa pemain Arsenal termasuk Xhaka, Pierre Emerick Aubameyang, dan David Luiz akan diketepikan dalam pertembungan menentang Liverpool awal pagi ini dalam pusingan 16 pasukan terakhir Piala Carabao.