Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe intai Afiq Fazail

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Johor Darul Ta’zim, Afiq Fazail bagi menguatkan skuad kebangsaan yang bakal mengharungi jadual ketat sepanjang November depan, lapor Sports247.

Aksi memukau Afiq ketika aksi menentang Selangor pada saingan separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam telah membuka mata ramai pemerhati bola sepak di Malaysia. Rata-rata peminat bola sepak tempatan ingin melihat Afiq tampil menyarung jersi skuad kebangsaan.

Pemain berusia 25 tahun itu menghasilkan dua bantuan gol yang menarik dalam perlawanan tersebut. Sebelum ini, bekas pemain Harimau Muda ini juga telah mencipta satu bantuan gol pada aksi separuh akhir pertama yang menyaksikan JDT menang tipis 2-1 di Larkin.

Tan Cheng Hoe berkata,’Afiq bukan sahaja konsisten tetapi dia juga bijak membaca permainan. Dia semakin matang dan telah memainkan peranan penting dalam membantu JDT. Dia juga memiliki pendedahan yang luas di peringkat antarabangsa serta telah tampil beraksi bersama JDT dalam saingan AFC Champions League.’

Kehadiran Afiq di bahagian tengah semestinya akan membantu skuad Harimau Malaya untuk mencipta lebih banyak jaringan. Nor Azam Azih juga bakal kembali dalam skuad utama selepas kembali pulih daripada kecederaan.

‘Kekalahan keatas Thailand perlu dilupakan. Ianya telah berlaku. Kami perlu bersiap sedia dari segi mental untuk menghadapi Thailand dan Indonesia bulan depan’, tambahnya lagi.

Malaysia dijadualkan akan bertemu Thailand pada 14 November dan Indonesia pada 19 November depan di Stadium Nasional Bukit Jalil.