Eropah Berita

Arsenal sedia gempur

Skuad kendalian Unai Emery bersedia untuk menggempur pasukan tuan rumah, Sheffield United awal pagi nanti. Arsenal bakal berkunjung ke Stadium Bramall Lane bagi menghadapi perlawanan kesembilan Liga Perdana Inggeris.

Beberapa berita baik di kem The Gunners memberi kelegaan kepada para penyokong mereka. Pemain baru yang dibeli dari Celtic, Kieran Tierney dijangka akan membuat penampilan sulungnya di posisi bek kiri. Tambahan pula, kecergasan pemain utama seperti Alexandre Lacazette dan Hector Bellerin juga ibarat memberi tonik buat barisan serangan Arsenal.

Arsenal gagal memenangi sebarang perlawanan di gelanggang lawan pada musim ini kecuali pada aksi pembukaan liga menentang Newcastle United. Malah, 80% gol Arsenal dihasilkan oleh penyerang utama kebangsaan Gabon, Pierre Emerick Aubameyang.

Aubameyang yang memenangi Anugerah Kasut Emas pada musim lepas dilihat seperti keseorangan di barisan serangan. Walaupun dibantu pemain sayap seperti Nicolas Pepe dan Bukayo Saka, namun kesannya masih kurang efektif.

The Gunners juga hanya tewas sekali dalam 11 perlawanan yang berlangsung pada hari isnin. Berpandukan rekod pertembungan kedua-dua pasukan, Arsenal telah memenangi 48 perlawanan manakala Sheffield pula memenangi 39 perlawanan sepanjang pertemuan mereka.

Kali terakhir mereka bertemu adalah pada pusingan ketiga Piala FA yang menyaksikan Sheffield diratah 6-0 di Stadium Emirates.

Kemenangan buat Arsenal akan melonjakkan mereka ke tangga ketiga liga, tujuh mata dibelakang pendahulu liga, Liverpool.