Selepas Romelu Lukaku menampilkan aksi cemerlang bersama Inter Milan, kini giliran Alexis Sanchez pula membuktikan kualiti.
Walaupun berstatus pemain pinjaman di kelab pendahulu Liga Serie A Itali, namun ianya bukan penghalang untuk Sanchez mempamerkan aksi cemerlang. Jika di Old Trafford pemain ini menjaringkan gol melalui bola muntah hasil sepakan penaltinya ketika menentang Huddersfiled Town, tetapi Sanchez hanya perlu satu sentuhan penyudah dalam aksi liga menentang Sampdoria hujung minggu lalu sebelum membuka akaun jaringan gol bersama Inter Milan.
Sanchez dilanda kontroversi pada perlawanan menentang Sampdoria apabila mengutip dua kad kuning sebelum diarah untuk keluar padang. Dalam masa 22 minit, pemain berusia 30 tahun ini berjaya menjaringkan dua gol sebelum dilayangkan kad merah atas kesalahan cuba menjatuhkan diri di dalam kotak penalti.
Pemain antarabangsa Chile itu mengalami kesukaran dalam menyesuaikan diri ketika bersama United. Dalam 45 penampilan dalam semua kejohanan sepanjang dua musim, Sanchez hanya mampu menyumbang lima gol sahaja. Rekod yang agak kurang memuaskan bagi pemain bertaraf dunia seperti beliau. Berbeza pula ketika berkelana bersama Arsenal, dimana 80 gol telah dihasilkan daripada 166 penampilan sepanjang empat musim. Sehinggakan ada yang menggelar beliau sebagai pengganti Mario Balotelli di Liga Perdana Inggeris.
Antara sebab utama kegagalan pemain serangan lincah ini ialah taktikal dan corak permainan yang diterapkan dalam pasukan. Kesesuaian taktikal dapat dikategorikan sebagai berkesan andai Sanchez mampu beraksi dengan baik sebagaimana beliau beraksi bersama Arsenal, Barcelona, dan Chile. Kemampuan beliau untuk membuat gerakan solo dan menghasilkan gol rembatan dari jarak jauh merupakan satu kelebihan yang berpotensi untuk disumbangkan kepada pasukan andai wujud keserasian.
Selain itu, harapan yang terlalu tinggi disandarkan kepada pemain ini juga mampu untuk memakan diri dan akhirnya membunuh karier di hujung musim. Keputusan Sanchez untuk bekhidmat di Inter Milan sebagai pemain pinjaman merupakan keputusan yang tepat setelah melihat pelbagai sudut. Antaranya ialah kualiti yang ada pada pengendali utama yang juga bekas pengurus Chelsea, Antonio Conte dan juga kombinasi pemain-pemain berpengalaman yang berkualiti termasuk Diego Godin, Matteo Politano, dan Marcelo Brozovic.
Adakah Sanchez mampu meneruskan persembahan cemerlang bersama Inter Milan pada musim ini?