Malaysia Berita

MAHSA idam ikut jejak langkah UiTM, UKM

Universiti MAHSA memasang impian untuk mengikuti jejak langkah dua pasukan dari Institut Pengajian Tinggi (IPT), UiTM FC dan UKM FC yang telah berjaya bermain di pentas Liga Premier.

Itulah yang diakui Pengerusi Eksekutif Kumpulan MAHSA,Tan Sri Datuk Dr Hj Mohamed Haniffa Abdullah selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Amateur Football League (AFL) sebagai salah satu komponen Liga M4.

Malah bagi memantapkan pasukan jangka masa panjang, MAHSA juga telah melakukan perjanjian dengan kelab terkenal dari Bundesliga, Borussia Dortmund dengan menganjurkan klinik bola sepak bagi melatih pemain dan jurulatih.

“ Kami harap dapat mengikuti jejak langkah mereka pada satu hari nanti dan saya sentiasa menganggap mereka sebagai pasukan jiran yang lebih senior daripada kami.

“ Walaupun kita tahu UKM dan UiTM lebih lama berbanding dengan MAHSA yang baharu ditubuhkan selama 15 tahun, tidak salah kami letak harapan yang sama.

“ Penyertaan dalam Liga M4 adalah sebagai permulaan dan kami akan cuba melangkah satu demi satu, mungkin ke saingan Liga M3 dan seterusnya ke Liga Premier pada satu hari nanti malah kami berharap dapat membantu kepada perkembangan pasukan kebangsaan.

“ Tidak salah mempunyai impian kerana dari situlah kami akan berusaha ke arah realisasikan impian tersebut. Kami berharap satu hari nanti dapat bersaing dengan pasukan-pasukan ternama, ” kata Haniffa pada sidang media MoU Liga M4 antara MAHSA dan AFL di Universiti MAHSA.

Dalam majlis itu juga, MAHSA turut melakukan usahasama dengan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dalam membantu pembentukan pasukan Piala Presiden dan Belia pada musim 2020.

Ini merupakan tahun penyertaan sulung MAHSA dalam M4 dan buat masa ini mereka mempunyai lapan pasukan yang sedang bersaing.

Menurut Haniffa, objektif MAHSA bukan hanya tertumpu kepada akademik semata-mata sebaliknya mahu melihat pembabitan pelajarnya dalam bidang sukan khususnya bola sepak.

Justeru, beliau terpanggil mahu membantu perkembangan pemain yang berpotensi dalam kedua-dua bidang agar mereka mempunyai karier selepas tidak lagi bermain dalam bola sepak.

“ Kita sanggup mengeluarkan kos yang tinggi untuk merealisasikan hasrat dalam membantu menghasilkan pemain bola yang berkualiti bukan sahaja dalam bola sepak bahkan dalam pelajaran.

“Kita menyediakan latihan bola sepak dan juga sijil pelajaran diploma atau ijazah secara percuma sebagai sokongan masa depan mereka sekiranya pelajar tersebut terpilih menyertai pasukan MAHSA.

“Setiap daripada mereka perlu mempunyai kedua-duanya sekali secara seimbang, supaya selama tiga tahun mereka di sini bukan sekadar buang masa sahaja, sama ada mereka menjadi pemain bola ataupun mempunyai karier sendiri.

“Pekara ini akan mengambil sedikit masa, kita juga telah mengambil langkah yang betul dengan menerima pemain berbakat dan berkualiti serta mengharumkan nama MAHSA pada masa akan datang,” katanya.