Kolum

Unai dan Ole sekufu

Awal pagi tadi, dua musuh utama iaitu  Arsenal dan Manchester United terikat 1-1 pada perlawanan Liga Perdana Inggeris yang berlangsung di Old Trafford.

Kedua-dua pasukan yang masih bergelut dibawah bimbingan pengendali baru itu dilihat begitu sukar untuk mendapatkan jaringan gol. Kebiasaannya, perlawanan yang melibatkan dua pasukan ini pasti menjanjikan aksi yang menarik dan menghiburkan.

Namun begitu, kedua-dua pasukan yang pernah dilabel sebagai gergasi Liga Perdana Inggeris itu hanya mampu menampilkan persembahan yang membosankan dan kurang menarik. Gol pertama muncul di hujung babak pertama hasil jaringan cantik dari luar kotak penalti yang dihasilkan pemain tengah The Red Devils, Scott McTominay.

(Photo by Matthew Peters/Manchester United via Getty Images)

Arsenal yang mengekalkan rekod tanpa menang di Old Trafford sejak kemenangan terakhir yang dicipta pada 2015 kelihatan buntu dalam membuat serangan atas faktor pemilihan pemain yang dilaksanakan Unai Emery sejak musim lepas. Tambahan pula, tiga pemain tengah bertahan seperti Granit Xhaka, Matteo Guendouzi, dan Lucas Torreira yang diturunkan pula tampak seperti kekurangan idea dan kreativiti. Ini juga punca mengapa bola hanya berlegar di kawasan tengah bagi pasukan The Gunners. Peluang terbaik Arsenal muncul apabila gerakan serangan balas yang dicipta pemain muda, Bukayo Saka sebelum rembatan kaki kirinya dan percubaan susulan daripada Matteo Guendouzi diselamatkan penjaga gawang antarabangsa Sepanyol, David de Gea.

Pasukan tuan rumah mempunyai beberapa peluang namun dinafikan oleh penjaga gawang utama Arsenal, Bernd Leno yang beraksi dengan begitu cemerlang dalam perlawanan tersebut. Gol jaringan luar kotak Scott McTominay terlalu mustahil untuk diselamatkan. Andai diletakkan penjaga gol terbaik dunia sekalipun, belum tentu penjaga gol tersebut mampu untuk menafikan gol itu. Jadi, tidak adil untuk menuding jari kearah Bernd Leno atas gol yang dilepaskan.

Sejarah juga tercipta apabila gol yang dicetak Pierre Emerick Aubameyang perlu dianalisa semula melalui teknologi VAR sebelum disahkan yang mana ianya pertama kali terjadi di Old Trafford. Secara purata, Aubameyang menghasilkan satu gol bagi setiap penampilan setakat ini dalam saingan liga. Bebanan di bahu pemain antarabangsa Gabon ini begitu berat sekali sehingga menyaksikan dia diturunkan pada setiap perlawanan dan bermain secara penuh. Kecederaan yang dihadapi Alexandre Lacazette dan ketumpulan kualiti Nicholas Pepe juga menyumbang kepada sebab utama Aubameyang dilihat lebih menyerlah musim ini.

(Photo by Stuart MacFarlane/Arsenal FC via Getty Images)

Bagi anak buah Ole Gunnar Solksjaer, keputusan seri ini sedikit sebanyak memberi motivasi kepada para pemain untuk bangkit setelah dimalukan West Ham United pada minggu lalu. Kehadiran semula pemain seperti Paul Pogba juga membantu barisan tengah untuk menjadi lebih efektif. Serangan United juga menunjukkan tanda-tanda positif tetapi tuah tidak menyebelahi mereka. Manakala barisan pertahanan yang dibarisi pemain pertahanan termahal dunia, Harry Maguire perlu diperbaiki untuk menghadapi perlawanan yang akan datang.