Kolum

Silva bakal dihukum?

Pemain sensasi Portugal yang bermain bersama Manchester City, Bernardo Silva bakal menghadapi masalah besar. 

Satu ciapan yang dibuat di laman sosial, Twitter itu menimbulkan rasa marah dikalangan peminat dan pemerhati bola sepak. Jenaka yang ditujukan kepada rakan sepasukan, Benjamin Mendy itu menjadi topik hangat kerana dilihat mempunyai unsur diskriminasi.

Organisasi yang memperjuangkan anti diskriminasi dalam bola sepak, Kick It Out menggesa Persatuan Bola Sepak England (FA) untuk menjalankan siasatan berkaitan ciapan tersebut. Berdasarkan, undang-undang yang telah digubal oleh FA  pada Julai lepas, mana-mana pemain yang melakukan salah laku berkaitan diskriminasi bakal dikenakan hukuman gantung enam perlawanan secara minimum. Ini bermaksud Silva akan terlepas aksi menentang Liverpool jika hukuman ini dilaksanakan.

Risiko yang bakal dihadapi ini akan mencacatkan percaturan Pep Guardiola dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Pemain sayap tersebut baru sahaja mencatat hatrik pertama bersama City pada hujung minggu lepas ketika meratah Watford 8-0 di Stadium Etihad.

Perkara sebegini sedikit sebanyak merencatkan prestasi Silva yang juga mempamerkan permainan cemerlang bersama skuad Portugal. Kredibiliti pemain ini juga akan tercalar. 

Walaupun, Silva dan Mendy mempunyai hubungan yang baik tetapi apa yang telah dilakukan itu tidak betul. Perkara sensitif sebegini perlu diberi perhatian dalam usaha membunuh jiwa yang cuba menjatuhkan pemain lain dengan diskriminasi.

Twitter merupakan ruang umum yang mampu diputar belit oleh mana-mana pihak. Seharusnya, Silva sebagai pemain profesional yang berpengalaman cakna dalam isu ini. Gurauan dan jenaka seperti itu sepatutnya hanya diantara mereka berdua sahaja. Ianya tiada masalah jika tidak sampai ke pengetahuan umum. Silva perlu sedar akan posisi yang dipikul bukan sekadar pemain bola sepak tetapi juga sebagai figura di khalayak awam.

Terdahulu, beberapa pemain seperti Tammy Abraham, Marcus Rashford, dan Paul Pogba juga telah menjadi mangsa diskriminasi.