Kolum

Haaland si penggempur muda

Liga Perdana Inggeris telah menyaksikan kemunculan watak baru bagi menghangatkan lagi suasana untuk musim ini. Nama seperti Teemu Pukki, Tammy Abraham, dan John Lundstram mula menjadi topik perbualan para pengikut liga paling popular di dunia ini.

Satu lagi nama yang mencuri perhatian pada minggu lepas ketika perlawanan RB Salzburg menentang Genk yang mana menyaksikan pasukan dari Austria itu membelasah pelawat 6-2. Apa yang menarik ialah kelibat pemain yang menjaringkan tiga gol dalam perlawanan tersebut, Erling Haaland.

(Photo by Andreas Schaad/Bongarts/Getty Images)

Nama baru yang menjadi tumpuan ini begitu menyerlah dalam saingan Liga Bundesliga Austria dan telah mencipta dua hatrik dalam lapan perlawanan liga. Dalam kata lain, pemain berusia 19 tahun ini telah menjaringkan tiga gol dalam satu perlawanan sebanyak tiga kali termasuk dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Beraksi di pentas dunia pada usia yang begitu muda bukan satu perkara yang mudah. Namun, ianya tidak mustahil buat Haaland. Aksi cemerlang bersama kelab juga melayakkan anak muda ini untuk bersama skuad kebangsaan Norway.

Dikatakan bakal pengganti Zlatan Ibrahimovic atas faktor fizikal yang dimiliki, ketajaman penyudah pemain ini juga tidak dapt dinafikan. Setakat ini, Haland telah menghasilkan 11 gol dalam lapan perlawanan. Secara purata, pemain ini akan menjaringkan satu gol dalam setiap perlawanan. Satu prestasi yang boleh dibanggakan.

Dalam pada itu, RB Salzburg akan bertandang ke Anfield untuk perlawanan kedua peringkat kumpulan bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah. Menentang pasukan juara bertahan, Liverpool pastinya akan menjadi cabaran buat pasukan bimbingan Jesse Marsch. Pertembungan Haaland dan Virgil van Dijk juga pasti menjadi tumpuan peminat seluruh dunia. Mampukah Haland membenan ego Liverpool atau mereka akan diratah habis-habisan?