Malaysia Berita

‘Wan Kuzain yang saya kenal’

Bakat yang dimiliki oleh Wan Kuzain Wan Kamal adalah sesuatu yang ‘rare’ apabila berjaya menembusi industri sukan bola sepak di salah sebuah negara terbesar di dunia, iaitu Amerika Syarikat.

Biarpun Major League Soccer (MLS) dikatakan sebagai liga persaraan buat bintang-bintang dunia, tetapi kredibiliti yang dimiliki oleh mereka tidak boleh disangkal dengan beberapa nama besar pernah bertandang untuk bermain di sana.

Bagi pemain kelahiran Amerika Syarikat ini, beliau telah berjaya membuat enam penampilan untuk Sporting Kansas City dan telah menjaringkan gol ketika membuat aksi sulung tahun lalu.

Beliau adalah produk kelahiran Akademi Sukan Kansas City yang memulakan kerjayanya dengan Southern Illinois Futbol Club (SIFC-Force) sebelum berpindah ke akademi Saint Louis FC.

Kronologi berita Wan Kuzain mahu wakili skuad negara

Berita tentang niat beliau untuk mewakili Malaysia Bawah-23 (B-23) tersebar luas pada petang Khamis, 5 September dan telah mengemparkan seluruh naluri peminat bolasepak tanahair.

Berita yang disampaikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin telah diterima dengan baik oleh peminat serta pengkritik bolasepak kerana ianya adalah sesuatu yang luar biasa untuk melihat bakat besar yang lahir daripada sistem bola sepak luar bersedia untuk mewakili Malaysia.

Bagi media pula mereka sudah mula berteka-teki di mana Wan Kuzain akan bermain, adakah beliau akan terus mewakili skuad B-23 negara atau bakal membuat debut bersama skuad senior negara yang sedang sibuk dengan kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023?

Tetapi jangkaan itu mula meleset apabila VOCKETFC telah mendedahkan bahawa Wan Kuzain hanya mahu bermain bersama skuad muda negara dan mempunyai impian untuk mewakili skuad senior Amerika Syarikat.

Pendedahan ini dibuat setelah ayahnya sendiri, Wan Kamal menyatakan bahawa Wan Kuzain hanya akan mewakili Malaysia B-23 dalam saingan Sukan SEA 2019 di Filipina sahaja dan bukan bersama skuad utama kebangsaan.

Bagi Wan Kuzain, impiannya adalah untuk mencuba nasib bersama pasukan negara kelahirannya, Amerika Syarikat yang mempunyai potensi besar untuk beraksi di pentas Piala Dunia pada masa akan datang.

Maka berbondong-bondonglah orang hadir dengan kecaman dan menyatakan bahawa Wan Kuzain hanya mahu jadikan skuad negara sebagai tempat persinggahan.

Berita ini jelas tidak boleh diterima oleh segelintir peminat bola sepak, mereka menyatakan bahawa Wan Kuzain ‘malu’ untuk menyarung jersi skuad negara kerana nama Amerika Syarikat lebih besar di mata dunia berbanding Harimau Malaya.

Wan Kuzain yang saya kenal

Setelah Ong Kim Swee tampil mempertahankan pilihan Wan Kuzain dengan meminta peminat bolasepak negara untuk memandang perkara ini daripada sudut positif.

Terbaharu, bekas CEO NFDP, Safirul Abu Bakar tampil melakukan perkara yang sama.

Beliau yang faham benar dengan kekecewaan peminat negara setelah mendapat berita bahawa Wan Kuzain tiada niat untuk beraksi buat skuad senior negara telah tampil untuk menceritakan sisi lain Wan Kuzain yang masih gagal dikenali ramai.

Dalam satu bebenang di laman Twitter miliknya, Safirul menyatakan bahawa kesukaran untuk menembusi industri bola sepak di Amerika adalah ‘maha hebat’ dan Wan Kuzain amat bernasib baik kerana bakatnya telah dikenal pasti di sana.

“Saya faham benar betapa sukarnya untuk menjadi seorang atlet pro di USA kerana persaingannya adalah maha hebat. Malah utk menjadi student athlete di NCAA sahaja begitu susah.” Katanya.

Kesukaran ini jelas telah menjadi antara salah satu sebab mengapa Wan Kuzain memasang impian lain.

Tambah beliau lagi, kehadiran Wan Kuzain ke Malaysia pada 2017 adalah untuk mengenali susur jalur keluarga beliau dan mengenali budaya Malaysia kerana beliau dibesarkan dalam satu suasana berbeza biarpun berdarah melayu Malaysia.

Dalam pertemuan tersebut, Safirul menyatakan bahawa Kuzain ada menyatakan minat untuk mewakili skuad negara tetapi beliau juga sedang mempertimbangkan peluang lain yang bakal hadir.

“Kuzain juga bertukar-tukar pendapat dgn Menteri Belia dan Sukan [Khairy Jamaluddin] pada ketika itu dan juga bercakap tentang kemungkinan dan niat beliau utk menyarung jersi Harimau Malaya.

“Tapi anak muda ini juga sedang merancang pembangunan kerjaya beliau di Amerika Syarikat dan pasti ada banyak pertimbangan lain yang harus diutamakan.” Katanya.

Safirul turut mendedahkan bahawa perbincangan untuk membawa Wan Kuzain dan adik beliau Wan Kuzri bagi mewakili skuad negara tidak pernah putus diantara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Tambah beliau lagi, mereka amat peka dengan situasi yang dihadapi oleh Wan Kuzain serta pertimbangan lain pemain tersebut dan tidak lelah untuk terus membantu Wan Kuzain.

Justeru, beliau meminta agar orang ramai memberi peluang kepada Wan Kuzain beraksi buat skuad muda negara dan berhenti untuk mempersoalkan kesetian beliau pada lencana di dada.

“Tujuan saya menulis ialah untuk merayu semua supaya lebih memahami semua pihak dan memberi ruang. Sekiranya jalan ini ditakdirkan baik utk negara dan [Wan] Kuzain, sama-samalah kita mendapat manfaat.” Kata Safirul bagi menutup penjelasan isu Wan Kuzain yang hangat sejak beberapa minggu ini.