Kajian & Analisis

Bekas bintang EPL menyerlah di Serie A

Pada jendela perpindahan pemain yang lepas,  beberapa penghijrahan pemain di luar jangkaan telah berlaku. Lebih menarik perhatian apabila bekas pemain Liga Perdana Inggeris yang tidak mendapat tempat dalam kelab masing-masing telah mengambil keputusan untuk menyertai pasukan di Liga Serie A Itali. 

Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris yang terlibat dalam melepaskan pemain-pemain mereka termasuklah Manchester United, Arsenal, Liverpool, Chelsea, Manchester City, dan Tottenham Hotspur. 

(Photo by Matthew Peters/Manchester United via Getty Images)

Inter Milan

Bekas bintang utama The Red Devils, Romelu Lukaku memilih Inter Milan sebagai destinasi baru untuk mendapat lebih minit permainan. Lukaku berjaya mempamerkan persembahan cemerlang dengan menghasilkan dua gol dalam tiga perlawanan bersama Inter Milan yang kini menghuni tangga teratas Liga Serie A dengan pungutan sembilan mata.

Juventus

Kelab yang berpangkalan di Turin, Juventus mengambil keputusan untuk membuat pertukaran pemain dengan melepaskan Joao Cancelo dan mendapatkan khidmat Danilo. Kedua-dua pemain posisi bek kanan tersebut memiliki kualiti tersendiri. Selepas empat perlawanan, Danilo telah menyumbat satu gol ketika membantu Juventus membenam Napoli 4-3. Dua bekas pemain utama Arsenal iaitu Aaron Ramsey dan Wojciech Szczesny turut menyarung jersi Juventus.

AS Roma  

AS Roma pula berjaya mendapatkan khidmat dua pemain berpengelaman iaitu Chris Smalling dan Henrikh Mkhitaryan yang dilihat bergelut untuk mendapat tempat dalam pasukan masing-masing. Kehadiran pemain serangan baru di Arsenal menyebabkan Henrikh Mkhitaryan tiada pilihan selain berhijrah ke kelab baru untuk menjamin tempat dalam kesebelasan utama. Walaubagaimanapun, status Henrikh Mkhitaryan hanyalah sebagai pemain pinjaman sehingga penghujung musim. 

Begitu juga dengan Chris Smalling yang melihat kehadiran pertahanan termahal dunia, Harry Maguire sebagai satu ancaman di Manchester United. Seorang lagi pemain yang dipinjamkan ke AS Roma ialah Davide Zappacosta yang sebelum ini beraksi bersama Chelsea. 

Selepas tiga perlawanan, AS Roma akhirnya mencatat kemenangan pertama setelah menewaskan Sassuolo 4-2 di halaman sendiri. Lebih menarik apabila Henrikh Mkhitaryan membuka akaun jaringan pada penampilan pertama bersama Roma. Antara bekas pemain Liga Perdana Inggeris yang kini beraksi bersama Roma termasuklah Edin Dzeko dan Aleksandar Kolarov.

(photo by Massimo Insabato/Archivio Massimo Insabato/Mondadori Portfolio via Getty Images)

Napoli dan Fiorentina

Selain itu, Fernando Llorente yang merupakan bekas pemain Tottenham Hotspur telah menyertai Napoli manakala penyerang muda Liverpool, Bobby Duncan memilih Fiorentina sebagai pasukan pilihan. Semalam, Bobby Duncan menjaringkan dua gol ketika membantu pasukan bawah 19 tahun Fiorentina menewaskan pasukan bawah 19 tahun Bologna 6-3.

Dua liga yang berbeza darjat

Mungkin ada sebab utama mengapa pemain-pemain ini mampu untuk menyinar di Liga Itali tetapi gagal untuk menunjukkan persembahan memberangsangkan ketika di Liga Perdana Inggeris. Kualiti liga bola sepak itu sendiri boleh menjadi punca utama perbezaan corak permainan para pemain. Ini juga membuktikan bahawa Liga Perdana Inggeris adalah liga kompetitif yang paling sukar buat mana-mana pemain yang beraksi di sana.