Kolum

Pogba beri laluan kepada Guendouzi

Pemain tengah Arsenal, Matteo Guendouzi telah dipanggil untuk menyarung jersi kebangsaan Perancis bagi menggantikan bintang tengah Manchester United, Paul Pogba yang mengalami kecederaan pergelangan kaki ketika beraksi menentang Southampton pada hujung minggu lepas.

Kepercayaan yang diberikan oleh pengendali utama pasukan Perancis, Didier Deschamps, kepada pemain muda berusia 20 tahun itu adalah berdasarkan prestasi semasa beliau bersama Arsenal. Matteo Guendouzi telah diturunkan sebagai pemain tengah utama skuad The Gunners dalam keempat-empat perlawanan liga musim ini.

Pada ahad lepas, Guendouzi mempamerkan aksi memukau yang membantu Arsenal bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk mengikat musuh setempat, Tottenham Hotspur di laman sendiri. Guendouzi menyumbang satu bantuan gol pada minit ke-71 yang menyaksikan kuisan penyerang utama, Pierre Emerick Aubameyang berjaya menggegarkan jaring pasukan lawan.  Guendouzi mendapat pujian bekas pemain Arsenal, Robert Pires yang menganggap persembahan luar biasa pemain muda itu membuktikan pemilihan beliau sebagai pemain kesebelasan utama merupakan satu keputusan tepat yang dibuat Unai Emery.

Sebelum ini, Unai Emery dikritik hebat oleh penyokong pasukan Arsenal selepas tindakan pengendali dari Sepanyol itu untuk terus-menerus menggunakan khidmat Matteo Guendouzi dalam perlawanan sebelum ini termasuk ketika tewas 3-1 di tangan Liverpool. Namun, potensi sebenar pemain hanya dapat diukur oleh pengendali pasukan yang memerhati prestasi pemain dari masa ke semasa dan inilah yang menjadi amalan Unai sepanjang membimbing Arsenal.

Ibarat mimpi menjadi realiti, Guendouzi menerima satu panggilan telefon daripada Didier Deschamps yang menyatakan hasrat untuk menggunakan khidmat beliau bagi menghadapi dua perlawanan kelayakan Euro 2020 menentang Albania dan Andorra. Guendouzi berharap agar mampu membalas kepercayaan yang diberikan dengan memberikan kemenangan kepada pasukan Les Blues. Dalam pada itu, skuad kendalian Deschamps bakal beraksi tanpa beberapa tonggak utama seperti Aymeric Laporte, Ousmane Dembele, dan Kylian Mbappe.