Pemilihan Stadium Sungai Besar sebagai gelanggang utama Selangor United musim depan pada pentas Liga Premier bukan sahaja mampu menghidupkan minat penduduk setempat kepada bola sepak tetapi merancakkan kegiatan ekonomi secara keseluruhan di bandar Sabak Bernam.
Antara sektor yang dijangka mendapat suntikan apabila Selangor United kembali ke Sabak Bernam ialah bidang perhotelan, perniagaan penduduk setempat serta mempromosikan Sabak Bernam yang jarang mendapat perhatian daripada pihak luar.
Justeru, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) melalui wakilnya, Zahairul Abdul Rahman berkata, mereka akan sentiasa menyokong penuh hasrat Selangor United serta bersedia membantu pihak Malaysian Football League(MFL) dalam tempoh beberapa bulan ini bagi memastikan Stadium Sungai Besar bersedia sepenuhnya sebelum sepak mula musim 2020.
“Stadium Sungai Besar sebenarnya merupakan satu kebanggaan kepada seluruh warga Sabak Bernam sejak dahulu kerana banyak pertandingan diadakan di sini termasuk Piala FAM, Piala Emas Raja-raja, Piala Presiden dan Piala Belia yang melibatkan Selangor United.
“Hadirnya Liga Premier ke sini akan menaikkan lagi minat warga Sabak Bernam terhadap bola sepak dan sukan. Bukan sekadar sukan kerana saya rasa ia akan menjana perkembangan ekonomi di sini secara tidak langsung.
“Perhotelan, sektor perniagaan yang libatkan makanan dan sebarang aktiviti melibatkan pelancongan secara tidak langsung akan perkenalkan nama Sabak Bernam yang mungkin kurang diketahui,” katanya pada pertemuan MFL bersama pegawai Selangor United dan MDSB yang melakukan pemeriksaan bersama di Stadium Sungai Besar.
Mengenai proses menaik taraf Stadium Sungai Besar, Zahairul sedia membantu MFL dan Selangor United sekiranya ada aspek teknikal yang perlu segera diperbaiki.
Berdasarkan pemerhatian awal, beliau yakin tidak banyak kerja-kerja naik taraf yang perlu dilakukan kecuali beberapa aspek berhubung lampu limpah dan penyediaan langkah keselamatan.
“Pertemuan dengan MFL agak positif dan saya jangkakan perkara seperti lampu limpah, padang dan penyediaan aspek teknikal berhubung keselamatan sahaja akan diperbaiki.
“Kami telah lakukan persediaan awal sebelum ini kerana sebelum ini aksi Piala FAM ada diadakan di sini dan melalui hadirnya MFL yang dijangka mahu membantu akan mencantikkan lagi stadium ini, ” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Selangor United Mohd. Nizam Hashim berharap, suasana meriah ketika mereka bermain pada Piala FAM di Sungai Besar akan kembali dirasai.
Selepas jumlah penyokong yang begitu rendah di Stadium Majlis Perbandaran Selayang sepanjang musim ini, beliau berharap 2020 akan menjadi sinar buat Selangor United yang dahagakan sokongan peminat.
“Selama tiga tahun kami di Sungai Besar, respon yang diberikan komuniti di sini begitu baik kerana kami boleh mendapat 1,000 penyokong untuk datang tetapi berbeza di Selayang yang mana paling tinggi pun kami boleh dapat 500 orang penonton
“Melalui sokongan MFL, kami ucapkan terima kasih kerana impian untuk kami kembali di sini hampir menjadi kenyataan dan kami sedia mengikuti apa sahaja disarankan MFL, ” katanya