Piala Malaysia Berita

Kejayaan julang Piala FA kunci semangat pasukan Kedah

Kedah bakal turun menentang Negeri Sembilan pada perlawanan pembukaan Piala Malaysia di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Tiga mata penuh bakal dicari anak buah Aidil Sharin Sahak dengan semangat membawa pulang Piala FA minggu lalu ke Darul Aman masih di rasai oleh setiap pemain.

Termasuk pemain pertahanan tengah Kedah, Renan Alves yang berjaya menjulang piala pertama sejak membuat penampilan sulung di Liga Malaysia.

Tetapi beliau tidak diturunkan ketika aksi final menentang Perak kerana menjalani hukuman gantung satu perlawanan selepas mengutip kad merah pada perlawanan terakhir menentang Felda United pada aksi Liga Super.

Bercakap kepada Berita Harian, beliau menyatakan perasaan kecewa kerana tidak dapat turun membantu pasukan pada malam kemenangan Piala FA yang kelima buat Kedah, tetapi berjanji akan membantu pasukan ketika mereka turun pada perlawanan pertama Piala Malaysia.

“Impian saya mahu melihat Kedah mendakap Piala musim ini tercapai apa yang lebih penting bukan soal saya beraksi atau tidak, tetapi kejayaan diraih Kedah.

“Kini saya memasang impian mahu berusaha sebaik mungkin menyumbang kejayaan buat Kedah pada Piala Malaysia yang berprestij,” katanya.

Renan Alves adalah antara nadi penting pasukan Kedah bersama-sama dengan Shakir Hamzah di bahagian pertahanan.

Selain daripada itu, penyerang pasukan Kedah, Thanabalan turut memasang impian untuk membantu Kedah dalam kancah Piala Malaysia.

Beliau mengingatkan kepada rakan sepasukan untuk menggunakan kejayaan menjulang Piala FA pada perlawanan menentang Negeri Sembilan nanti.

“Dengan semangat itu, kita kena terus fokus kerana saingan Piala Malaysia adalah kejohanan paling mahu direbut semua pasukan dalam Liga Malaysia.

Beliau juga menyeru rakan sepasukan untuk terus fokus dan jangan mudah terleka.