Malaysia Berita

Kedah tak mahu simpan pasukan utama

Kedah tetap akan turun dengan barisan terkuat bagi menentang Felda United pada aksi akhir Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, esok.

Biarpun Kedah bakal menentang Perak minggu berikutnya pada saingan akhir Piala FA 2019, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak mahu memastikan momentum kemenangan ditunjukkan oleh anak buahnya.

Justeru, membarisi barisan utama bagi mengutip tiga mata penuh adalah misi penting buat skuad Helang Merah.

Dalam masa yang sama, pengakhiran misi ini juga bakal menentukan tempat Kedah di kelompok tiga terbaik Liga Super.

Aidil dalam satu temubual bersama Berita Harian menyatakan pendirian beliau mahu menurunkan barisan terkuat bagi mencapai misi tiga mata penuh.

“Memang persiapan ke final juga penting kerana kita tidak mahu pemain mendapat kecederaan namun perlawanan terakhir ini juga turut mustahak.

“Tambahan lagi saya tidak mahu menghampakan penyokong yang bersusah payah datang memberi sokongan dari jauh tanpa menyaksikan aksi daripada pemain terbaik yang Kedah miliki,” kata Aidil.