Liga Super Malaysia Berita

Besar harapan Kedah buat Edgar Bernhardt dan David Rowley

Kedah telah berjaya membawa masuk dua pemain baharu pada jendela kedua perpindahan pemain, iaitu Edgar Bernhardt dari Kyrgyzstan dan juga David Rowley dari Australia yang mempunyai kewarganegaraan Malaysia.

Kedua-dua pemain ini bakal mengisi bahagian tengah Kedah yang dilihat masih rapuh pada permulaan musim ini.

Edgar pernah beraksi bersama pasukan GKS Tychy FC, Poland dan juga pernah dilantik sebagai Ketua Pasukan Kebangsaan Kyrgyztan yang beraksi dalam Piala Asia 2019.

Kemasukkan beliau ke dalam skuad Kedah adalah bagi menggantikan Anmar Al Mubaraki yang dilanda kecederaan panjang.

Manakala Rowley pula mempunyai pengalaman luas dengan Liga Malaysia (Liga-M) apabila pernah mewakili Negeri Sembilan FA dan Juga Kelantan FA.

Beliau sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa kelab luar seperti Brisbane City FC (A-League), Inter Leipziq (Divisyen 5 Jerman), Tennis Borussia Berlin, BSC Rehberge Berlin serta beberapa kelab di Thailand iaitu Chumpon FC dan Nara FC.

Kemasukan mereka diyakini oleh Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris mampu untuk menguatkan bahagian tengah Kedah dalam aksi Liga Super serta saingan Piala FA.

“Edgar dan juga David Rowley bakal membantu rakan sepasukan lain terutama bahagian tengah untuk melancarkan lagi serangan dan juga penguasaan bola.

“Reputasi Edgar yang pernah menggalas tugas selaku ketua pasukan Kyrgyzstan sebelum ini bakal membantu untuk menguatkan jentera tengah pasukan Kedah.

“Saya yakin dengan perancangan dan peraturan yang dilakukan oleh barisan pengurusan dan kejurulatihan ini, kita mampu beri saingan yang diharapkan dan seterusnya berazam layak ke final Piala FA musim ini dan menjulang kejuaraan adalah bonus untuk Kedah sekiranya kita memenanginya di pentas akhir nanti.” katanya kepada Arena Metro.