Malaysia Berita

Malaysia tidak akan turun dengan taktikal bertahan – Tan Cheng Hoe

Kemenangan besar Malaysia ke atas Timor Leste minggu lalu memberi kedudukan selesa buat anak buah Tan Cheng Hoe menjelang aksi kedua playoff kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Tujuh gol yang dihasilkan pada perlawanan pertama minggu lalu menerusi Corbin-Ong, Safawi Rasid, Shahrel Fikri, Idlan Talaha, Faiz Nasir dan Akhyar Rashid dilihat mampu untuk dipertahankan Malaysia serta sukar untuk dikejar oleh Timor Leste.

Tetapi itu tidak bermakna bahawa anak buah Tan Cheng Hoe bakal turun dengan taktikal bertahan malam esok biarpun Malaysia dilihat sudah mara ke peringkat seterusnya.

Pengendali negara, Tan Cheng Hoe berkata kepada Arena Metro, “kita akan turun seperti biasa kita bermain dan pentingnya pemain kena tingkatkan prestasi serta kurangkan kesilapan individu.

“Setakat ini saya nampak mereka bermain dengan baik namun yang utama adalah kita mahu kekalkan konsistensi permainan,” katanya.

Selain daripada itu, Malaysia bakal kehilangan khidmat Syafiq Ahmad apabila pemain itu dilaporkan mengalami kecederaan dan dijangka berehat dalam tempoh dua minggu.