Malaysia Berita

Sofie jadi sumber motivasi Lee Tuck

Pemain import Terengganu FC (TFC) mahu jadikan kehadiran cahaya mata pertamanya, semalam sebagai pemangkin motivasti menjelang pertemuan dengan Pahang pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur Kuantan, Jumaat ini.

Beliau percaya perjalanan sukar akan dihadapi oleh pasukan biarpun menang 2-1 pada aksi suku akhir pertama di Kuala Terengganu minggu lalu.

Justerue, beliau berharap agar rakan sepasukannya memberi aksi lebih baik bagi mempertahankan kemenangan yang diperoleh sebelum ini.

“Bagi saya pertemuan dengan Pahang pada peringkat suku akhir kedua pada Jumaat ini adalah perlawanan terbesar saya setakat ini. Jauh dalam sudut hati saya ialah ingin memenangi Piala FA musim ini selepas kecundang pada pusingan ketiga musim lalu.

“Kini keutamaan saya ialah untuk menyelesaikan tugas yang diberikan jurulatih walau apa cara sekali pun kerana ia perlawanan kalah mati bagi semua pasukan, maka yang penting kami perlu menang untuk layak ke separuh akhir.

“Kelahiran anak pertama kami, Ruby Sofia seberat 3.13 kilogram hasil perkongsian hidup dengan isteri, Georgia Madelela, 29, di Hospital Pakar Salam Kuala Terengganu pada jam 2 pagi semalam bakal menambah motivasi yang begitu tinggi kepada saya.

“Kehadiran Sofia yang menjadi penambah seri keluarga juga sedikit sebanyak membakar semangat saya untuk meneruskan karier dalam sukan bola sepak ini bukan saja bersama pasukan Terengganu malah juga pasukan Malaysia suatu hari nanti,” kata pemain kelahiran Halifax, England itu.

Pemain kacukan Malaysia-England ini tidak beraksi bersama pasukan pada perlawanan menentang PKNP setelah isterinya menunjukkan tanda-tanda mahu bersalin.

“Saya bergegas balik ke Terengganu sebelum perlawanan dengan PKNP dan agak malang saya tidak dapat membantu pasukan.

“Namun ia amat penting buat saya bersama isteri pada saat kelahiran itu dan ia sangat bermakna buat saya,” katanya yang gembira selepas isteri dan anaknya sihat.