Malaysia Berita

Tindakan pantas FAS ikat Ifedayo di puji penyokong

Tindakan pantas Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengikat pemain import baharu biarpun jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) baru dibuka, Khamis lalu dipuji oleh Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC).

FAS menggunakan peluang pada jendela kedua dengan mengikat bekas penyerang Felda United, Ifedayo Olusegun bagi menggantikan Rufino Segovia yang dibelenggu kecederaan panjang.

Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid berkata kepada media, “Tentunya berita baik buat penyokong yang sangat berharap penyerang tulen mengisi kekosongan yang ditinggalkan Rufino selepas pemain Sepanyol itu dijangka memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga atau empat bulan lagi untuk pulih.

“Selangor seolah-olah hilang taring di depan gol selepas ketiadaan Rufino dan kami sebagai penyokong berharap pengganti dia mampu memikul tugas sebagai mesin gol pasukan.

“Kami juga sangat berharap kesilapan mengikat Antonio German sebagai penyerang di awal musim tidak berulang ke atas Ifedayo,” katanya kepada BH Sukan.

Selain itu Mohd Faizal berkata, skuad Selangor perlu diberikan masa untuk membentuk kombinasi paling mantap kerana ramai pemain baharu yang dibawa masuk musim ini.