Malaysia Berita

Kedah jalin kerjasama dengan kelab Jepun

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir telah mengadakan perjumpaan rasmi bersama Pengarah J-League, Minoru Takehara dalam siri lawatan ke China dan Jepun.

Takehara juga merupakan pemilik salah satu kelab J-League iaitu Sagan Tosu mengadakan perjumpaan dengan Mukhriz di sekitar Tokyo, di mana perjumpaan itu turut dihadiri oleh Fernando Torres.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Media KFA, perjumpaan itu bertujuan untuk membincangkan cadangan pembangungan bolasepak di antara Kedah dan Sagan Tosu.

“Perjumpaan semalam bersama Takehara sudah semestinya adalah langkah awal untuk memulakan kerjasama pembangunan bolasepak bersama kelab Sagan Tosu dan KFA telah menerima reaksi positif oleh beliau yang bakal melihat usahasama pertama pasukan bolasepak di Malaysia bersama kelab J-League.

“Sebagai menghargai kunjungan YAB Dato’ Presiden KFA, Takehara bercadang untuk ke Kedah sebagai lawatan rasmi kelab Sagan Tosu dan wakil J-League dalam memuktamadkan kerjasama pembangunan bolasepak yang dirancang.” Kata kenyataan terbabit.

Ini bukan pertama kali Kedah melakukan kerjasama dengan kelab luar negara, di mana sebelum Lang Merah telah menjalinkan kerjasama dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Cardiff City FC dan kelab Hyundai A-League, Perth Glory FC.