Piala FA Malaysia Berita

Shopee Piala FA : Terengganu tak gentar hadapi Pahang

Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim tidak gentar dengan Pahang yang dilabel pilihan apabila kedua-duanya bakal berentap di pusingan suku akhir Shopee Piala FA 2019 dengan menjadikan kejayaan melakar kejutan ke atas Johor Darul Ta’zim, (JDT) pada musim lalu di separuh akhir Piala Malaysia sebagai motivasi utama.

Bagi Irfan, keputusan separuh akhir Piala Malaysia itu membuktikan tiada yang mustahil untuk anak buahnya walaupun lawan mereka mempunyai rekod pencapaian lebih memuaskan untuk menjadi skuad pilihan kali ini.

Apa yang pasti, bekas jurulatih Felda United itu enggan bergantung kepada nasib sahaja sebaliknya mempunyai percaturan tersendiri bagi hadapi skuad bimbingan Dollah Salleh itu untuk memastikan slot ke separuh akhir menjadi milik TFC.

“Kalau dah memang kami diundi menentang Pahang di suku akhir, kami kena menghadapinya dengan tenang kerana bagi saya, apa-apa sahaja boleh berlaku dalam saingan Piala FA ini.

“Jika dilihat pasukan daripada liga M3, mereka juga makin pamer perkembangan positif dalam saingan musim ini sekali gus membuktikan tiada yang mustahil untuk mana-mana pasukan lakar kejutan.

“Musim lepas, JDT pun tewas kepada anak buah saya di separuh akhir Piala Malaysia dan untuk Piala FA ini, saya yakin TFC mampu atasi Pahang”, katanya.

Penyerang TFC, Tchetche Kipre pula menyifatkan semua pasukan yang berentap kali ini berada di satu tahap yang sama dan tiada perlu rasa tertekan memikirkan lawan sehingga boleh menjejaskan fokus di atas padang.

Paling penting, pemain dari Ivory Coast itu mahu kerjasama rakan sepasukan memanfaatkan peluang sepenuhnya apabila beraksi di laman sendiri terlebih dahulu pada suku akhir pertama untuk bawa bekalan selesa sebelum bertandang ke Kuantan.

“ Bagi saya, tiada satu pun boleh anggap mereka adalah kerdil apabila sudah sampai ke tahap ini termasuklah pasukan kami sendiri kerana semua mempunyai potensi tersendiri yang tidak boleh dipandang rendah.

“Saya tidak perlu risau apabila lawan kami nanti adalah juara bertahan, Pahang kerana TFC juga pastinya mampu untuk beraksi di luar jangkaan untuk mara ke separuh akhir”, katanya.