Liga Super Malaysia Berita

Pahang tinggalkan Nwakaeme menjelang aksi di Ipoh

Skuad kendalian Dollah Salleh bakal turun menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh tanpa kelibat penyerang utama mereka, Dickson Nwakaeme.

Penyerang berbisa Tok Gajah dikhabarkan mengalami kecederaan hamtring ketika perlawanan Piala FA tempoh hari.

Ketiadaan Dickson akan membuka peluang kepada Norshahrul Idlan Talaha dan Jose Eduardo untuk mengetuai bahagian serangan Pahang.

“Oleh itu, Mat Yo (Norshahrul) dan Ze Love (Eduardo) akan mengetuai jentera serangan dalam usaha merobek kubu The Bos Gaurus.

“Saya harapkan mereka akan menemui sentuhan jaringan selepas gagal melakukannya pada perlawanan dengan UKM FC Rabu lalu,” katanya.

Beliau juga mengingatkan kepada para pemain agar tidak melakukan kesilapan mudah ketika berdepan Perak.

“Bagaimanapun, pemain tidak boleh melakukan kesilapan mudah hingga memberi ruang kepada tuan rumah membolosi gawang pasukan.

“Fokus utama pasukan adalah mencatat kemenangan tetapi mereka perlu berhati-hati dengan asakan lawan,” katanya.