Liga Super Malaysia Berita

Nwakaeme belum pasti diturunkan – Dollah Salleh

Pahang bakal turun menentang PJ City FC di Stadium Darul Makmur, malam esok tanpa kelibat penyerang berbisa mereka, Dickson Nwakaeme.

Pengendali Pahang, Dollah Salleh berkata Nwakaeme tidak menjalani latihan bersama pasukan selama dua minggu disebabkan masalah keluarga di negara asalnya.

“Dia tidak bersama kita (berlatih) selama dua minggu dan saya kena nilai semula prestasinya jika mahu senaraikan sebagai pemain utama,” kata Dollah.

“Saya dimaklumkan, Nwakaeme akan tiba hari ini dan (masa) agak suntuk juga untuk buat keputusan (menyenaraikan) dia dalam pasukan.

“Seorang lagi pemain import kita, Saddil Ramdani sudah kembali menjalani latihan dengan rakan sepasukan lain sejak awal minggu ini… dia menyertai skuad kebangsaan Indonesia minggu lalu dan terlepas aksi menentang FELDA United.” Katanya

Beliau juga menyuarakan keyakinan terhadap skuadnya biarpun tanpa kelibat Nwakaeme

“Kita perlukan khidmat Nwakaeme tapi jika dia tidak bersedia untuk turun (beraksi) malam esok, saya rasa kita tidak ada masalah untuk bermain dengan baik.

“Paling penting ialah tiga mata dan gunakan kelebihan beraksi di laman sendiri… kita perlu menang jika mahu merampas kembali kedudukan teratas Liga Super kerana Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menewaskan FELDA United 3-1,  malam tadi, kini menerajui Liga,” katanya.

Difahamkan, jentera serangan Pahang akan menyaksikan gandingan Jose Eduardo dan Norshahrul Idlan Talaha bagi merampas kembali puncak liga daripada Johor Darul Ta’zim.