Penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois mendakwa dia menerima layanan yang tidak adil pada musim pertama dengan Real Madrid dan mempertahankan dirinya selepas membuat kesilapan yang mudah dalam perlawanan kelayakan Euro 2020 dengan Rusia pada hari Khamis yang lalu.
Kesilapan itu menyukarkan lagi Courtois untuk merebut tempat di dalam skuad Zinedine Zidane selepas digantikan dengan Keylor Navas pada perlawanan menentang Celta Vigo, Sabtu lalu.
Courtois mempunyai musim yang sukar di Madrid sejak meninggalkan Chelsea dan merasakan dia telah diperlakukan secara tidak adil di Sepanyol.
“Saya masih menganggap diri saya sebagai yang terbaik di dunia, walaupun akhbar Sepanyol mahu membunuh saya,” kata Courtois kepada media Belgium.
“Saya berasa kuat, saya tenang, bermain dengan baik dan menjalani latihan dengan baik.”
Mengulas lanjut kesilapannya ketika menentang Rusia. “Saya mendapat asakan dari penyerang Rusia,” katanya.
“Saya tidak mempunyai kekuatan untuk membuang bola tersebut, saya membuat sedikit kesilapan, tetapi itulah kehidupan penjaga gol, selepas itu saya tenang dan bermain dengan baik.”