Selangor bermula lemah pada musim ini dengan kegagalan mencatat kemenangan setelah beraksi dalam empat aksi Liga Super musim ini.
Reds Giants terpaksa akur dengan keputusan seri dalam tiga perlawanan sebelum ini menentang Felda United, PJ City dan terbaru adalah Pahang. Mereka juga tewas mengejut kepada pasukan PKNS FC, 4-0 di laman sendiri dua minggu lalu.
Peralihan pengurusan yang baharu dan kehadiran pengendali yang baru. Ia dilihat sebagai salah satu faktor mengapa Selangor dilihat kurang menyengat pada permulaan kempen kali ini.
Dengan tampuk pimpinan yang diketuai oleh Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah dan ketua jurulatih baharu, B.Sathianathan. Selangor sedang dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan gerak kerja yang baharu serta perancangan yang lebih terperinci.
B. Sathianathan yang baru dilantik pada November tahun lalu masih belum menemui sentuhan beliau. Sepanjang empat perlawanan Liga Super, jurulatih kelahiran Perak ini telah menukar bahagian serangan Selangor sebanyak empat perlawanan.
Untuk rekod, hanya Rufino Segovia dan Antonio German yang kekal berada di posisi mereka. Manakala Faiz Nasir, Amri Yahya dan Syazwan Zainon kerap kali ditukarkan kerana gagal menunjukkan aksi yang konsisten.
Apa yang diperlukan B. Sathianathan ketika ini bukan sahaja masa, tetapi ruang yang lebih luas untuk beliau memimpin pasukan Red Giants.
Memetik kata-kata beliau di Kosmo Online, B. Sathianathan berkata, “Saya bangga dengan prestasi pemain pasukan kami pada perlawanan ini yang dilihat sudah mula mendapat rentak meskipun beraksi dengan tekanan hebat ekoran keputusan negatif sebelum ini.
“Lebih membanggakan, kami berjaya mengharungi perlawanan sukar tanpa kelibat dua pemain import, Taylor Regan dan Sandro selain Khyril Muhymeen yang masih belum cergas sepenuhnya.
“Saya percaya Selangor masih berada di landasan tepat tetapi perlu diberi masa sekurang-kurangnya 10 perlawanan sebelum dapat melihat hala tuju sebenar,” katanya.
Beliau bakal turun memimpin pasukannya menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan kelima Liga Super di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.