Malaysia Berita

Safee Sali Sifatkan PFA Tak Berhati Perut

Skuad Perlis menerima tamparan awal selepas pemain penyerang mereka, Safee Sali mengumumkan yang beliau tidak lagi akan menyarung jersi Singa Utara.

Berikutan daripada terpalit dengan isu tunggakan gaji serta beberapa janji yang tidak menusabah ditaburi, Safee Sali terpaksa mengambil jalan keluar bagi memberi pelajaran kepada Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Tambah beliau lagi, segala pengorbanan yang dilakukan untuk pasukan Perlis selama ini seperti mencurah air di daun keladi apabila tidak dihiraukan oleh pihak PFA.

Memetik kata-kata beliau di laman Facebook peribadi beliau, Safee Sali menyatakan, “Saya sudah buat keputusan untuk tidak bersama dengan Perlis lagi.

“Segala yang saya curahkan dengan ikhlas memang tidak ada makna nya bagi pihak pengurusan. Pemain dan staff kejurulatihan dah bagi yg terbaik samada dalam latihan mahupun dlm perlawanan.” Katanya

Beliau turut menyatakan rasa berat hati mahu meninggalkan pasukan terbabit kerana percaya Perlis ada potensi untuk bersaing.

“Sayang memang sayang tapi keputusan saya tekad demi memberi pengajaran kepada pengurusan yang tidak berperikemanusiaan dan tidak ada hati perut.

“Dah byk pengorbanan pihak jurulatih dan staff lakukan. Mungkin ini jalan yg terbaik buat masa sekarang.” Katanya.

Selain daripada Safee Sali yang mengambil jalan untuk keluar daripada Perlis, lagenda bola sepak Kedah dan juga pengendali skuad B-17 Perlis, Akmal Rizal Ahmad Rakhli meletakkan jawatannya selepas hanya tiga bulan mengendalikan pasukan itu.

Faktor sama yang menimpa Akmal Rizal iaitu tidak dibayar gaji dan hilang kepercayaan kepada pihak pengurusan membuatkan beliau turut memilih jalan keluar.

Pada perkembangan yang sama, Manja Man, pengendali pasukan Perlis mengakui masih boleh bertahan meskipun tidak dibayar gaji hampir tiga bulan.

Keputusan beliau untuk bertahan adalah kerana dasar hormat kepada pemain-pemainnya yang masih berjuang dengan kemelut PFA.

Memetik kata-kata beliau kepada Berita Harian, “Saya masih lagi dengan PFA meskipun gaji belum dapat, saya masih di sini bukan atas hormat pada mereka (pengurusan PFA) tapi pada pemain saya.

“Dan saya masih bertahan sehingga hari ini juga adalah sebab saya anak jati negeri ini bersama jurulatih penjaga gol pasukan saya (Ahmad Jazree Abd Ghani),” katanya.