Malaysia Berita

KFA Simpan Dendam Dengan FAM?

Dakwaan kononnya mengatakan bahawa Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berdendam dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas menolak melepasakan pemain muda mereka, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam menyertai skuad B-22 negara adalah tidak benar.

Ia berikutan kononnya KFA masih berdendam dengan FAM disebabkan perselisihan tebus kontrak yang dirasa tidak adil diantara Johor Darul Ta’zim dan bintang muda mereka, Akhyar Rashid.

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris bercakap kepada Berita Harian bahawa pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak memerlukan Fadzrul Danel berada di dalam pasukan kerana Liga Super baru bermula.

Justeru, beliau juga memaklumkan bahawa pihak FAM telah dimaklumkan secara rasmi.

“Buat masa ini barisan kejurulatihan sangat memerlukan dia (Mohd Fadzrul) untuk saingan liga kerana semua tahu yang Kedah masih dalam proses memantapkan pasukan.

“Bukan sebab dendam (kes Akhyar), kami di pihak pengurusan KFA profesional dan FAM juga profesional. Malah, kami berhubung dengan baik bersama FAM dalam urusan lain.

“Pasukan Kedah tahun ini masih baharu, keserasian antara pemain pun tidak kuat sangat dan mungkin selepas ini kami akan bagi kerjasama buat FAM untuk melepaskan pemain yang dipanggil,” katanya.