Malaysia Berita

‘Keistimewaan’ Untuk Pasukan Yang Melepaskan Pemain

Masalah yang dihadapi oleh pengendali B-23 negara, Ong Kim Swee dalam mendapatkan pemain yang beliau mahukan bakal diselesaikan dengan segera apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bakal memperkenalkan beberapa keistimewaan kepada pasukan yang sanggup kehilangan pemainnya.

Bakal bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), MFL dilihat memandang serius isu yang membabitkan Kim Swee dalam menghadapi kejohanan Piala AFF B-22 di Phnom, Kemboja.

Ketua Pegawain Eksekutif, Kevin Ramalingan berkata kepada media, “Kita sedang melihat cara untuk MFL membantu skuad kebangsaan jadi kita akan membawa beberapa cadangan ke dalam Mesyuarat Lembaga MFL dan memberi beberapa keistimewaan kepada mana-mana pasukan yang bersedia untuk melepaskan pemain mereka,” kata Kevin pada Majlis Memeterai Perjanjian Antara Shopee dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) di Mid Valley City, hari ini.

“Kita tidak boleh memaksa pasukan untuk melepaskan pemain tetapi sebagai badan pengendali liga, kita melihat agenda kebangsaan dan kejayaan pasukan kebangsaan sebagai satu perkara yang amat penting.

“Ini adalah sekadar cadangan yang boleh diketengahkan dan akan dibincangkan nanti. Jika pasukan sedia lepaskan pemain menyertai skuad kebangsaan, mungkin mereka akan diberi kebenaran untuk mendaftarkan 35 pemain dan bukannya hanya 30 pemain seperti yang sedia ada.

“Apapun, banyak lagi yang perlu difikirkan sekiranya ia mahu dilaksanakan. Cadangan ini tetap memerlukan persetujuan pasukan dan kalau sebilangan besar pasukan menyokong idea ini, mungkin ia boleh diluluskan.”

Beliau ditemui selepas majlis menandatangi perjanjian diantara Shopee dan MFL bagi penajaan membabitkan Piala FA 2019.