Malaysia Berita

MFL, Shopee Terus Jalin Kerjasama Dalam Mengembangkan Bola Sepak Tempatan

Piala FA 2019 bakal dihangatkan dengan kerjasama Shopee, peneraju platform e-dagang terkemuka di rantau Asia Tenggara dan Taiwan selepas bersetuju melanjutkan penajaan bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL)  buat tahun kedua berturut-turut dalam dalam satu majlis menandatangani penajaan yang berlangsung di ibu pejabat Shopee Malaysia, Kuala Lumpur, hari ini.

Dikhabarkan Ampersand Sports yang bekerjasama dengan MFL sebagai ejen pemasaran hak eksklusif Liga Malaysia (Liga-M) – Liga Super, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia – adalah syarikat yang bertanggungjawab dalam menjalinkan hubungan dua hala diantara Shopee dan MFL.

Ini adalah tahun kedua Shopee bekerjasama dengan MFL dalam menjayakan Piala FA selepas kali pertama membuat penampilan tahun lalu. Penajaan ini sekaligus mengekalkan nama Shopee Piala FA sebagai nama rasmi kejohanan untuk tahun ini.

Selain daripada itu, manfaat kerjasama diantara Shopee dan MFL bakal dirasai oleh pasukan-pasukan yang bersaing di Liga Malaysia apabila Shopee bakal terus menawarkan perkhidmatan jualan tiket perlawanan dan barangan cenderamata rasmi pasukan menerusi platform Shopee. Ia bertujuan membantu pasukan-pasukan Liga Malaysia meningkatkan pendapatan pasukan.

Untuk rekod, kerjasama diantara Shopee dan MFL pada musim lalu telah meningkatkan jualan tiket, dimana lebih 30,000 jumlah tiket telah terjual menerusi platform Shopee.

Apa yang menjadi keunikan Shopee Piala FA musim ini adalah penyertaan daripada pasukan-pasukan amatur dari Liga M3 dan M4 untuk bersaing dengan pasukan-pasukan besar bagi merebut piala keramat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam dalam satu sidang media berkata penyertaan besar pasukan dalam saingan Shopee Piala FA kali ini bukan sahaja membuka peluang pasukan-pasukan amatur untuk merebut piala, bagi beliau ini adalah petanda bahawa Shopee dan MFL bersedia membantu dan memberi sokongan terhadap bola sepak tempatan.

Mengulas lanjut kerjasama diantara Shopee dan MFL, Kevin Ramalingan berkata, “kesungguhan Shopee untuk bekerjasama dengan MFL membuktikan Liga Malaysia kini semakin berkembang dan mendapat perhatian ramai pihak termasuk syarikat-syarikat swasta.”

Kevin Ramalingam dalam ucapannya turut mengajak para peminat bola sepak untuk menggunakan platform Shopee dalam urusan pembelian tiket sejajar dengan peredaran masa.

“Melalui platform rasmi kami di Shopee, lebih banyak peminat mempunyai akses langsung untuk perlawanan tiket dan cenderamata rasmi pasukan kegemaran mereka.

“Kami di MFL juga berharap lebih banyak peminat akan membeli tiket atas talian sejajar dengan peredaran era digital ini, mengikut trend penyokong Eropah dan Amerika,” jelas beliau.

 

Dalam masa yang sama, MFL juga berharap agar kerjasama ini bakal membuka mata syarikat-syarikat lain mengikut jejak langkah Shopee dalam usaha membangunkan bola sepak tempatan. Dimana ia bukan sahaja memerlukan sokongan padu daripada kerajaan tetapi syarikat-syarikat swasta dan komuniti.

Bagi Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho menjelaskan bahawa Shopee mempunyai dasar untuk mengembangkan platform mereka lebih daripada sekadar organisasi perniagaan tetapi satu syarikat yang memberi manfaat kepada sesebuah komuniti.

“Ia sentiasa berada dalam DNA Shopee untuk menyokong dan memberi impak kepada komuniti yang mana kami hadir dalam situasi terbaik.” katanya.

“Untuk berbuat demikian, kami telah melakukan misi peribadi kami untuk membawa perniagaan atas talian Malaysia sebagaimana kami membimbing mereka dalam perjalanan mereka untuk memastikan kejayaan mereka dalam platform kami.

“Ia tiada sebab buat kami untuk menghadkan sokongan kepada organisasi perniagaan sahaja. Menyedari bahawa pasukan dan kelab juga akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan kami.

“Kami proaktif untuk bekerjasama dengan MFL untuk membantu pasukan menjual tiket dan cenderamata rasmi mereka kepada lebih ramai rakyat Malaysia dimana dapat membantu menjana pendapatan pasukan. Impak daripada sokongan kami kepada pasukan ini terbukti apabila lebih 30,000 tiket telah terjual untuk tahun lalu.” Katanya kepada media.

Pada tahun lalu, selain daripada menjalankan kempen pemasaran dan aktiviti, permainan dan acara-acara menarik bagi mempromosikan sukan bola sepak. Shopee turut mengambil inisiatif mulai dari promosi Beli 1 Percuma 1 dan diskaun untuk hampir semua tikat pertandingan yang dikelolakan oleh MFL.

Ian Ho juga menambah bahawa Shopee bakal mengekalkan perkara yang sama pada musim ini bermula dengan memasukkan MFL dalam kempen Shopee For Men yang bakal berlangsung dari 21 sehingga 25 Februari ini.

“Penjualan tiket dan barangan melalui platform kami akan memberi manfaat sepenuhnya kepada pasukan. Dengan kekuatan yang kami miliki, pasukan boleh menyerahkan jualan dan pemasaran kepada para pakar sambil memberi tumpuan kepada latihan dan persiapan pasukan.

“Dengan ini, ditambah pula dengan penajaan dan usaha pemasaran kami untuk mempromosikan liga, ia membolehkan bola sepak dikenali oleh semua lapisan masyarakat.” kata Ian Ho dalam ucapan penutup beliau.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran bintang muda negara, Syahmi Safari dan dua pemain lagenda Razman Roslan dan Indra Putra Mahayuddin.