Pemain tengah Terengganu FC (TFC), Lee Tuck yang dikatakan bakal menyarung jersi Harimau Malaya tidak menjejaskan tumpuan beliau menjelang permulaan kempen Liga Super 1 Februari ini.
Perkara ini diakui sendiri oleh pengendali TFC, Irfan Bakti Abu Salim berkata bahawa beliau percaya Lee Tuck sangat komited dalam memberi aksi yang terbaik buat skuad TFC.
“Dia komited atau mungkin Lee Tuck lebih teruja untuk menunjukkan prestasi lebih bagus pada musim baharu selepas kerap dikaitkan untuk menyertai pasukan negara.
“Namun apa yang saya nampak, mungkin Lee Tuck akan menjadikan tawaran itu sebagai suntikan motivasi dan ini sudah pasti memberikan kelebihan buat TFC,” kata beliau kepada Berita Harian.
Tambah Irfan lagi, beliau sangat kagum dengan disiplin yang ditunjukkan pemain berdarah kacukan Malaysia-England tersebut.
“Saya sentiasa tertarik dengan Lee Tuck. Cukup rajin tidak kira dalam sesi latihan mahupun perlawanan.
“Jika dalam sesi latihan, dia orang pertama tiba dan dia orang terakhir (meninggalkan sesi latihan). Baginya, bola sepak segala-galanya dan itulah sebab mengapa saya sebagai jurulatih sentiasa senang dengannya.
“Setiap kali dia diturunkan, Lee Tuck akan memberikan lebih apa yang diminta. Karakter Lee Tuck ini seharusnya dijadikan contoh terbaik kepada semua pemain khususnya pemain muda tempatan.
“Cuma saya juga ada nasihatkan kepada dia supaya kurangkan bermain secara individu ketika beraksi dan dengan pakej sedia ada, sudah pasti saya sentiasa gembira kerana Lee Tuck mampu memberikan pengaruh positif kepada rakan sepasukan,” katanya kepada Berita Harian.
Jika berjaya menyarung jersi kebangsaan, Lee Tuck bakal mengikut jejak langkah pemain Perak, Brendan Gan, Matthew Davies ( Pahang), Kiko Insa dan Natxo Insa (Johor Darul Ta’zim).