Berita Asian Cup

Thailand Ke Kalah Mati, India Pulang Gigit Jari

Tuan rumah Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan lawan mereka Thailand kedua-duanya menempah tempat ke peringkat kalah mati pada kempen Piala Asia 2019 petang Isnin semalam apabila kedua-dua pasukan seri 1-1 di Stadium Hazza bin Zayed.

Ali Mabkhout meletakkan pasukan Alberto Zaccheroni di depan selepas tujuh minit perlawanan bermula. Namun Thitiphan Puangjan meledak empat minit sebelum separuh masa pertama tamat untuk meletakkan Thailand di tempat kedua Kumpulan A setelah India tewas pada lewat minit perlawanan dengan Bahrain.

Sementara UAE telah melayakkan diri untuk fasa kalah mati untuk kejohanan ini kali kedua berturut-turut, Thailand akan menuju ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak layak ke separuh akhir pada 1972.

Manakala pada perlawanan India menentang Bahrain, penalti Jamal Rashed pada akhir masa tambahan memastikan Bahrain menang 1-0 ke atas India bagi membawa mereka ke peringkat kalah mati pada kempen Piala Asia kali ini.

Bahrain menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan A dengan empat mata. Mereka hadir sebagai salah satu daripada empat pasukan terbaik yang menduduki tangga ke tiga kumpulan untuk layak ke Pusingan 16.

UAE memenangi kumpulan dengan lima mata manakala Thailand, dikalahkan India 4-1 pada perlawanan pertama, menyempurnakan kebangkitan semula yang menakjubkan untuk mengikat di tempat kedua.

Thailand yang berjaya menewaskan Bahrain pada perlawanan kedua peringkat kumpulan meletakkan negara arab itu ditempat ketiga.

UAE kini akan bertemu dengan pasukan ketiga terbaik dari Kumpulan C, D atau E manakala Thailand akan bertemu dengan juara kumpulan Kumpulan C. Bahrain pula akan bertemu dengan pemenang Kumpulan B atau C.