Malaysia Berita

Pahang Hormat Keputusan Mat Don Ke JDT

“Walaupun ada perbincangan secara lisan, terpulang kepada pemain itu. Kalau dia buat keputusan untuk bermain dengan kelab lain, kami tak boleh buat apa-apa sebab itu pilihan pemain.”

Itulah pendirian yang ditetapkan oleh pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang terhadap bekas pemain Kedah, Liridon Krasniqi yang dilaporkan seperti sudah mempunyai pasukan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Liridon atau lebih dikenali sebagai Mat Don sebelum ini mencetuskan tanda tanya selepas memuat naik gambarnya bersama dengan pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Instastory miliknya.

Beliau yang sebelum ini beraksi bersama Kedah dikatakan hampir pasti menyertai pasukan Pahang. Bagi Suffian Awang, beliau tidak mempunyai hak untuk menghalang mana-mana pemain tetapi mengakui pihak beliau ada mengadakan perbincangan dengan Liridon.

“Kalau dia sudah rasmi menyertai kelab lain, mungkin peminat tidak lagi menaruh harapan dan kita doakan supaya dia berjaya,” katanya kepada Berita Harian.

“Tugas kami adalah untuk melihat ke depan dan mencari pemain setanding dia atau lebih baik lagi. Malah, saya juga percaya dengan taktikal dan pengalaman jurulatih Dollah Salleh dalam membuat pilihan pemain.”

Selain daripada itu, jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui sudah mempunyai beberapa calon lain jika Mat Don tidak dapat menyertai Pahang.

“Anda pun dah tahu, media semalam dah siar, kita dapat tahu bahawa Mat Don akan pergi ke JDT, itu yang saya tahu setakat ini. Kita bukan tiada calon, kita masih ada lagi beberapa pemain dalam perhatian.

“Cuma kita ada agak lewat kerana berdepan beberapa kekangan termasuk daripada segi menguruskan visa pemain. Tapi kita sedang berusaha untuk selesaikan secepat mungkin dan pastikan sebelum bermula liga, kita dapat pemain itu,” katanya.