Malaysia Berita

KLFA Ingatkan MFL Jangan Pilih Bulu

Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) bertegas agar Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak memilih bulu dalam mengambil keputusan mengenakan tindakan menyekat geran tahunan persatuan tersebut.

Masalah tunggakan gaji yang melanda pasukan KLFA ketika ini mendapat perhatian MFL dan bakal dikenakan tindakan apabila MFL dalam satu kenyataan menyatakan akan menyekat geran tahunan pasukan The City Boys.

Memetik kata-kata beliau pada Berita Harian, Naib Presiden KLFA, Datuk Kamarudin Hassan menyatakan bahawa pihak KLFA sepatutnya menggunakan budi bicara serta meminta pihak KLFA memberi penjelasan yang terperinci sebelum mengenakan tindakan kepada persatuan tersebut.

Beliau juga mengingatkan kepada MFL agar bertindak adil sebelum menghukum serta melihat pasukan lain yang turut terlibat dengan masalah tunggakan gaji dan tidak hanya fokus kepada KLFA saja.

“Tunggakan gaji itu memang KLFA akan selesaikan dan presiden pun sedang berusaha untuk lunaskan, cuma cepat atau lambat saja. Kita juga sedia memberi penjelasan kepada MFL.

“Tapi MFL tidak boleh terus nak ambil tindakan. Jangan bila jadi (kes) macam itu terus nak potong (sekat geran tahuan). Sepatutnya guna budi bicara, semak dulu, datang jumpa KLFA dan tanya apa masalah sebenarnya.

“Betul pemain kata dua bulan tak bayar gaji, itu kita tak nafikan. Tapi cuba semak juga berapa persatuan lain yang tak bayar gaji kepada pemain, jangan tuju kepada KLFA saja,” katanya kepada Berita Harian.

“Adakah hanya KLFA yang tak bayar gaji lagi? Malah, dalam tempoh setahun dua ini KLFA tiada masalah bayar gaji, kita bayar ikut masa, cuma hujung tahun ini saja kita lewat sikit.”

Beliau juga turut mengulas lanjut situasi Syazwan Andik yang bertindak keluar daripada pasukan The City Boys dan menyertai Johor Darul Ta’zim setelah tidak menerima bayaran gaji selama dua bulan.

“Syazwan datang daripada JDT II pada 2017 sebelum menyertai Kuala Lumpur, jadi maknanya kita ambil masa setahun untuk gilap dia hingga mendapat perhatian semula dari JDT.

“Jadi kita tetap berbangga kerana ia membuktikan KLFA berjaya menaikkan semula nama dia selaku pemain muda yang berpotensi sepanjang bersama Kuala Lumpur,” katanya kepada Berita Harian.