Liga Super Malaysia Berita

MU Tolak RM1.6 Juta Untuk Syazwan Andik

Nilai RM1.6 juta yang diletakkan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) kepada mana-mana pasukan yang mahukan khidmat Syazwan Andik tidak akan terpakai.

Bagi Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata bahawa tuntutan KLFA itu tidak boleh terpakai berikutan pemain kebangsaan itu bebas dari ikatan kontrak pasukan tersebut selepas KLFA gagal melunaskan gaji kepada beliau.

“Ia berikutan isu pembayaran gaji masih belum dijelaskan kepada Syazwan menyebabkan dia boleh membuat pilihan pasukan baharunya.

“KL tidak layak menerima  pampasan berkenaan berdasarkan terma dan syarat kontrak yang menyebabkan Syazwan gugur daripada bersama skuad itu, jika dia mahu berbuat demikian,” katanya.

Sebelum ini, MUSA dalam satu kenyataan menyatakan hasrat untuk mendapatkan Syazwan bagi memperkuatkan pasukan Melaka untuk saingan musim ini.

Untuk rekod, Syazwan yang sudah menghantar permohonan rasmi untuk berhijrah ke pasukan lain telah ditetapkan nilai pampasan kontrak oleh KLFA dengan nilai pampasan sebanyak RM1.6 juta.