Malaysia Berita

Kontrak Saya Tamat Setelah Dua Bulan Tidak Dibayar Gaji – Syazwan Andik

“Saya telah menamatkan kontrak saya bersama pasukan Kuala Lumpur kerana sudah dua bulan saya tidak menerima gaji.”

Pemain pertahanan negara dan pasukan Kuala Lumpur mengesahkan secara rasmi bahawa beliau telah meninggalkan pasukan The City Boys.

Kenyataan mengejut itu dibuat oleh beliau sendiri di laman Instagram miliknya. Beliau juga memuat naik keratan kontrak yang membenarkan beliau menamatkan ikatan bersama pasukan The City Boys jika terdapat tunggakan gaji lebih daripada satu kali.

Pemain berusia 22 tahun itu sudah dua bulan tidak menerima gaji daripada KLFA, iaitu daripada bulan November dan Disember. Kontrak tersebut juga membenarkan beliau untuk mencari pasukan lain jika terdapat tunggakan kontrak lebih dari satu bulan.

“Terdapat satu syarat dalam kontrak saya dengan KLFA yang membenarkan saya menamatkan kontrak jika saya tidak menerima gaji untuk dua bulan.

“Saya telah memberi surat kepada Ketua Jurulatih Yusri Che Lah pada 9 January dan memberitahunya tentang hasrat saya untuk menamatkan kontrak.

“Saya juga telah menghantar e-mel kepada KLFA untuk menamatkan kontrak atas sebab tidak menerima gaji.” Jelas beliau.

Sebelum ini KLFA menyatakan hasrat untuk membawa isu Syazwan Andik kepada pengetahuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) setelah merasa terperangkap. Pemain berusia 22 tahun itu dikatakan telah bersetuju secara lisan untuk terus kekal bersama pasukan KLFA sebelum ini.