Malaysia Berita

Yusri Harap Syazwan Dapat Tempat Dalam Kesebelasan Utama

Kemelut terbaru yang melanda Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan pemain muda negara, Syazwan Andik Ishak semalam tampak seperti sudah selesai.

Terbaru, pengendali pasukan The City Boys, Yusri Che Lah memberi nasihat serta berharap agar Syazwan dapat beraksi cemerlang bersama dengan pasukan baru. Beliau juga berharap agar pemain muda itu dapat menjadi pemain utama untuk pasukan baru.

“Berusahalah merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan baharu”

“Saya mengharapkan dia dapat membarisi kesebelasan utama pasukan baharunya nanti kerana pada saya, dia sememangnya material skuad kebangsaan.:

“Jadi ini akan memberikan cabaran yang lebih besar buat dirinya tetapi satu kerugian seandainya kemampuannya disia-siakan.” Kata Yusri seperti yang dipetik di Berita Harian.

Jurulatih kelahiran Perlis ini tetap optimis dengan kemampuan Syazwan untuk menembusi kesebelasan utama.

“Apapun, dengan prestasinya ketika ini dan kematangan dalam corak persembahannya, saya optimis tempatnya sukar untuk digugat dan selamat maju jaya bersama mana mana pasukan yang akan disertainya.” Kata beliau.

Ketiadaan Syazwan sedikit sebanyak merencatkan perancangan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang bakal bermula bulan hadapan.

Tetapi bagi bekas pengendali Kelantan beliau tetap yakin dengan beberapa pemain lain yang mampu untuk memberi persembahan yang baik.

“Saya akui ketiadaan Syazwan sedikit merencatkan persiapan pasukan kerana semua sudah sedia maklum mengenai kemampuan Syazwan, tetapi kita perlu menghormati keputusannya.

“Bagi saya, kita perlu memandang ke hadapan dan kita masih ada beberapa pemain yang mampu menggantikan tempatnya seperti Fitri Omar dan Hafiz Johar.

“Mungkin ini akan memberi peluang kepada pemain lain untuk menyerlah dan mereka seharusnya mengambil kesempatan ini dengan memberikan persembahan yang terbaik pada sesi latihan mahupun pada perlawanan,” katanya.

Syazwan sebelum ini terpalit dengan kontroversi bersama pengurusan KLFA selepas dikatakan bersetuju secara lisan untuk kekal bersama KLFA.

Tetapi beliau mengambil keputusan untuk keluar daripada KLFA selepas kontrak beliau secara rasmi terbatal setelah KLFA gagal melunaskan gaji beliau selama dua bulan.

Pemain berusia 22 tahun negara ini dikhabarkan bakal menyarung jersi Johor Darul Ta’zim musim hadapan