Malaysia Berita

Syazwan Perangkap KLFA, Bakal Sertai JDT?

Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) terasa seolah diperangkap oleh pemain berusia 22 tahun negara, Syazwan Andik selepas pemain itu bersetuju secara lisan untuk kekal bersama skuad Kotaraya sekurang-kurangnya semusim lagi.

Beliau sebelum ini yang dikaitkan dengan perpindahan ke Melaka United (MU) sudah mengadakan perbincangan dengan pihak KLFA berhubung soal gaji. Pemain berusia 22 tahun itu juga dikatakan sudah bersetuju secara lisan untuk terus kekal bersama The City Boys.

Walau bagaimanapun, pihak KLFA terkejut apabila gambar yang sedang tular di media sosial hari ini menyaksikan beliau sedang berlatih bersama skuad Johor Darul Ta’zim dan dikhabarkan bakal menyertai pasukan daripada selatan tanah air tersebut.

Setiusaha Agung KLFA, Nokmat Mustaffa berkata kepada Berita Harian bahawa pihak The City Boys merasa apa yang dilakukan oleh beliau adalah sangat tidak mengambarkan sifat profesional seorang pemain bolasepak.

“Dia buat kami terperangkap dan cara dia melakukannya sangat tidak beretika kerana kami sudah mencapai persetujuan lisan.”

Beliau juga berkata bahawa pihak KLFA tidak diberitahu tentang destinasi beliau selepas menghantar permohonan untuk berpindah.

Tambah beliau lagi, KLFA seolah-olah terperangkap apabila beliau menyatakan komitmen secara lisan untuk terus berkhidmat bersama skuad Kuala Lumpur tetapi sebaliknya yang berlaku minggu ini.

“Kami mendapat tahu daripada media dan dia kini berada di Johor. Dia ada menghantar surat untuk menyatakan mahu meninggalkan pasukan ini Rabu lalu, jadi kini kami terperangkap kerana sebelum ini, dia bersetuju selepas perbincangan diadakan dan sekarang dia berbuat begini.

“Dia menyatakan persetujuan secara lisan namun belum menandatangani kontrak, jadi kami percaya dengannya. Sama seperti Irfan Zakaria, dia menandatangani kontrak semalam (Khamis) namun Syazwan pula menyatakan sebaliknya.

“Saya berpegang pada janjinya namun nampaknya dia mengadakan perbincangan dengan pihak yang lain. Sudah tentu kami kecewa kerana dia mahu berjumpa dengan kami pada Rabu lalu tetapi dia tidak hadir,” katanya.

Nokman juga menyatakan hasrat untuk membawa isu ini kepada pengetahuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Kami akan menunggu surat daripada JDT dan kami akan mengeluarkan maklum balas namun apapun, kontraknya bersama KLFA adalah sehingga November 2019.

“Dia sudah bersetuju pada perbincangan awal dan kami mungkin akan membawa kes ini ke FAM atau pihak yang lebih berkuasa,” katanya.

Untuk rekod, KLFA berdepan tunggakan gaji selama sebulan dengan pemain berusia 22 tahun tersebut. Menurut kontrak, jika Syazwan berdepan tunggakan gaji daripada KLFA, kontraknya boleh dianggap batal.